KUALA LUMPUR – Terengganu dinobatkan sebagai juara acara bola sepak temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 selepas menewaskan Pulau Pinang 2-0 pada perlawanan akhir malam tadi.Kemenangan itu sudah cukup untuk Terengganu menamatkan kemarau 12 tahun ibu segala pingat selepas kali terakhir memenanginya pasa tahun 2010.
Untuk rekod ini merupakan emas keempat dalam acara bola sepak yang diraih skuad penyu sepanjang menyertai temasya dwi tahunan itu.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium bola sepak Kuala Lumpur, skuad Pulau Pinang kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli dilihat lebih mengamalkan corak permainan serangan pada awalnya berbanding lawan mereka.
Namun Pulau Pinang dihukum oleh gol pembukaan Terengganu yang terlebih dahulu mendapat jaringan menerusi tandukan Safwan Mazlan pada minit ke-24.
Tersentak dengan gol tersebut, Pulau Pinang kembali memperkemaskan aksi bagi mencari gol penyamaan namun tiada sebarang gol berjaya dihasilkan sekaligus menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga wisel penamat separuh pertama dibunyikan.
Memasuki babak kedua, permainan dilihat agak seimbang apabila kedua-dua pasukan saling melakukan serangan ke atas kubu lawan mereka.
Bagaimanapun nasib nyata melebihi Terengganu apabila berjaya menggandakan kedudukan pada minit akhir perlawanan menerusi jaringan Aqil Idham Bahari. – MalaysiaGazette
Dia tidak sempat menyelamatkan perkakasan di dalam kilangnya seperti mesin dan bahan mentah untuk menghasilkan keropok keping disebabkan air naik mendadak, selain arus banjir yang terlalu kuat.