KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) memperoleh jumlah deposit sebanyak RM88.09 bilion pada separuh pertama tahun ini, merekodkan paras tertinggi sejak 59 tahun penubuhannya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, perolehan itu menjadikan TH meraih pendapatan sebanyak RM1.47 bilion dengan keuntungan bersih RM1.03 bilion selepas ditolak peruntukan zakat.
Menurutnya, kejayaan itu sudah pasti disumbang oleh kepercayaan pendeposit terhadap TH serta Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menguruskan institusi kewangan milik umat Islam ini.
Beliau berkata, lebih daripada 200,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan pendeposit TH kini mencapai 8.6 juta orang.
“Keyakinan dan kepercayaan ini diperoleh hasil usaha keras kami dalam membetulkan persepsi yang membelenggu TH sebelum ini dan memastikan TH terus mapan serta relevan dalam mengurus wang amanah pendepositnya.
“Saya masih ingat lagi, tatkala kepercayaan umat Islam kepada TH merundum kerana kegagalan sesetengah pihak dalam mengurus persepsi yang membelenggu TH sebelum ini.
Tuduhan-tuduhan seperti penjualan aset, penyelewengan dan sebagainya menyebabkan ramai umat Islam berasa sangsi akan kemampuan TH,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, itulah perkara pertama yang beliau bersama Menteri tekankan untuk diperbetulkan sebaik menerima amanah sebagai anggota pentadbiran.
Kata Ahmad Marzuk, persepsi yang membelenggu itu harus dileraikan dan TH tidak boleh dilihat sebagai institusi merugikan umat Islam, sedangkan matlamat penubuhannya adalah untuk membantu mereka.
Maka, katanya, dalam melaksanakan hasrat itu, setiap tindakan pengurusan TH diteliti.
“Segala transaksi, pelaburan dan perancangan, sama ada yang telah dilaksana atau sedang dilaksana dinilai semula.
“Aset-aset yang boleh dikekalkan dan berpotensi dipulihkan, kita usahakan supaya dikekalkan dan dimanfaatkan. Matlamat kita, supaya umat Islam kembali mempercayai institusi ini dan kini, ternyata usaha kami membuahkan hasil.
“Melalui kepercayaan inilah terhasilnya pelaburan yang meningkatkan jumlah pendapatan dan keuntungan TH,” ujarnya.
Ini, kata beliau, termasuk pelaburan pendapatan tetap yang menyumbang sebanyak RM966.34 juta, pelaburan saham RM224.62 juta, pelaburan harta tanah RM213.66 juta pendapatan lain RM66.07 juta.
“Semua ini takkan berlaku tanpa kepercayaan dan sokongan dari pendeposit. Ini suatu bukti kejayaan kerajaan dalam mengembalikan kepercayaan pendeposit, yang mana gagal dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini.
“Ini juga suatu manifestasi keseriusan kami dalam menjaga serta memelihara institusi kewangan terbesar milik umat Islam ini.
“Keyakinan dan kepercayaan ini akan sentiasa dijunjung demi memastikan TH mencapai hasratnya membantu umat Islam menunaikan Rukun Islam Kelima. Teruskan memberi kepercayaan kepada kami dalam melaksanakan amanah ini demi umat Islam,” katanya. – MalaysiaGazette