Empangan Kota Tinggi Johor

 

KUALA LUMPUR – TNB Research Sdn Bhd (TNBR) dan Sedania Technologies Sdn Bhd menjalin kerjasama menilai potensi menjana tenaga daripada air lebihan empangan dan takungan air di seluruh Malaysia.

Melalui perjanjian kerjasama tersebut, Sedania akan menggunakan turbin mikro kuasa hidro TNBR yang cekap tenaga untuk menjana elektrik daripada air yang dilepaskan di empangan.

Setiap satu daripada 30 – 40 kilowatt turbin mikro kuasa hidro ini boleh menjana sehingga sekitar 305,000 kilowatt-jam tenaga hijau setahun.

Dengan lebih 70 empangan dan takungan air di seluruh Malaysia, potensi daripada sumber tenaga mikro hidro tersebut dianggarkan melebihi 40 gigawatt-jam setahun, cukup untuk membekalkan tenaga elektrik bebas karbon kepada kira-kira 10,000 rumah.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, projek sulung dua rakan kongsi ini dilaksanakan di empangan Kota Tinggi, Johor.

Sedania telah dianugerahkan oleh syarikat minyak dan gas multinasional untuk menilai dan mencadangkan kebolehlaksanaan menggunakan turbin mikro kuasa hidro yang cekap tenaga untuk menjana tenaga elektrik daripada air lebihan empangan tersebut.

Tanggungjawab Sedania merangkumi aspek kewangan dan teknikal projek manakala TNBR menyumbangkan kepakaran teknikal melalui reka bentuk dan pemasangan turbin mikro kuasa hidro.

Pengarah Urusan TNBR Dr. Mohd Hariffin Boosroh berkata, TNB memperjuangkan peralihan tenaga yang bertanggungjawab dan inklusif dengan aspirasi untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050.

Dengan matlamat itu, TNB melabur dalam teknologi hijau baharu seperti turbin kuasa mikro hidro cekap tenaga ini yang merupakan hasil penyelidikan kami di TNBR.

”Usaha sama ini menggambarkan bagaimana kerjasama penyelidikan dan industri memainkan peranan yang berpengaruh dalam pembangunan penyelesaian yang inovatif dan lestari untuk Malaysia.

”Memandangkan teknologi itu dibangunkan di Malaysia, ia juga akan memberi manfaat kepada industri tempatan dalam pengilangan, pentauliahan, operasi dan penyelenggaraan turbin kuasa hidro mikro, dan seterusnya menggerakkan masyarakat tempatan keluar daripada perangkap pendapatan sederhana dengan beralih kepada nilai tinggi, tinggi teknologi dan ekonomi berkemahiran tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast