Gambar hiasan

UNIVERSITI awam (UA) Malaysia merupakan nadi utama negara dalam menghasilkan graduan yang holistik dan cemerlang dalam memenuhi keperluan sumber manusia negara. Bakat yang dihasilkan inilah yang akan menyokong ekosistem serta menyumbang terhadap kemajuan ekonomi, perindustrian, sektor swasta dan badan kerajaan. Apa yang lebih penting graduan yang dilahirkan ini juga adalah merupakan barisan pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan. Sehubungan itu peneraju Universiti Awam khususnya di peringkat pentadbir utama perlu memiliki keupayaan untuk membawa hasrat dan aspirasi negara seterusnya diterjemahkan kepada melahirkan graduan yang kompeten serta memahami peranan mereka dalam pembinaan kecemerlangan negara bangsa.

Menyingkap situasi semasa yang berhadapan dengan cabaran situasi VUCA iaitu volatility (meruap); uncertainty (tidak menentu); complexity (rumit); dan ambiguity (kabur), ia menjadikan organisasi seperti Universiti Awam memerlukan bakat peneraju yang tangkas, anjal dan inklusif dalam mendepani perkara ini. Perubahan yang sering berlaku ketika ini acap kali menuntun kita untuk bertindak seterusnya menyesuaikan diri agar kesan yang diterima sekurang-kurangnya tidak merugikan atau memberikan tempias negatif kepada diri dan keluarga. Keadaan ini tidak terkecuali dan turut dihadapi oleh organisasi sama ada dalam sektor awam atau pun sektor swasta.

Deretan perubahan mendadak yang berlaku sebenarnya membawa kita dalam situasi BANI iaitu brittle (rapuh); anxious (cemas atau membimbangkan); non-linear (tidak lurus); dan incomprehensible (sukar untuk difahami). Terjemahan realiti menunjukkan betapa keadaan pasca kritikal wabak Covid-19 ketika ini bukan sahaja menuntut individu tetapi juga organisasi untuk beradaptasi dan melakukan penyesuaian yang diperlukan agar kekal releven untuk kelangsungan hidup.

Pengalaman yang diperolehi pentadbir UA dalam mendepani cabaran ini telah membawa kepada perubahan dalam banyak perkara. Keadaan Brittle ataupun rapuh telah membentuk keupayaan bakat untuk beradaptasi dan anjal  dalam mengurus perubahan. Situasi anxious bermaksud cemas atau membimbangkan telah melahirkan bakat yang memiliki keinsanan dengan peduli, empati dan saling membantu terhadap insan lain.

Keadaan non-linear yaitu tidak lurus telah menggalakkan pembelajaran berterus bakat agar mampu melaksanakan pelbagai tugas  dan menguasi bidang merentasi disiplin. Manakala keadaan Incomprehensible iaitu sukar untuk difahami telah merubah bakat agar lebih bersifat terbuka, bertoleransi dan mencari titik pertemuan dalam memahami serta meraikan perbezaan pendapat.Dari sisi positif situasi BANI telah membangunkan kompetensi penting bakat UA untuk mendepani cabaran ini.

Melihat lebih jauh ke depan, kesinambungan dalam aspek pewarisan kejayaanpentadbir utama UA perlu turut melibatkan aspek tersurat dan tersirat yang perlu dikuasai dan perlu diturunkan kepada barisan pemimpin utama pentadbir masa hadapan. Pengalaman, pengetahuan dan solusi yang diperturunkan ini akan membolehkan organisasi lebih bersedia dalam mendepani perubahan serta cabaran yang berlaku dalam situasi yang tidak menentu ketika ini.

UA perlu merancang dan melaksanakan trasformasi pengurusan bakat berasaskan kompetensi secara tersusun khususnya dalam kalangan kepimpinan pelapis masa hadapan. Pembangunan kompetensi terhadap bakat yang holistik, tepat dan fleksibel terhadap perubahan akan membolehkan organisasi terus kekal cemerlang selain bakat dan kepimpinan organisasi akan sentiasa berada ditahap yang terbaik

Merujuk kepada dalil Naqli di dalam Al-Quran Surah Yusuf, Ayat 55 Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan". Seorang pemimpin harus menguasasi konsep Hafizun ‘Alim iaitu bakat peneraju perlulah seorang yang pandai menjaga (mentadbir dan mengurus) dan berpengetahuan dalam bidang (business acumen). Penguasaan terhadap kompetensi khusus untuk posisi jawatan akan membolehkan bakat melaksanakan tugasan dengan cekap, efisien dan berkualiti tinggi yang pastinya dapat memenuhi kehendak pemegang taruh serta pelanggan keseluruhannya.

Usaha memperkasakan pentadbir UA perlu dilestarikan, misalnya kolaborasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi Malaysia (AKEPT) menganjurkan Changemaker Leadership Program For Senior Administrators (CLAPSA) pada 28-30 September 2022 hadapan suatu yang positif. Program ini memfokuskan kepada aspek kepimpinan, pengetahuan dan kemahiran kelompok bakat yang disasarkan untuk posisi jawatan Pendaftar dan Bendahari UA.

Bagi penulis, penekanan dalam aspek pewarisan kejayaan (succession plan) dalam kalangan pentadbir UA perlu dilaksanakan dengan lebih mampan dengan barisan kepimpinan pelapis akan lebih bersedia dengan menguasasi tahap kompetensi yang diperlukan untuk melaksanakan tugasan dengan cemerlang. Sesungguhnya kejayaan UA adalah pemangkin dan nadi utama kecemerlangan sumber manusia negara.

 

Mejar Bersekutu (PA) Syafful Annuar Sarani
Ketua Seksyen Kompetensi dan Pelan Penggantian,
Bahagian Pembangunan Sumber Manusia USIM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast