KULAI – Seorang warga emas kerugian RM431,000 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud yang menawarkan keuntungan dalam masa singkat.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa iaitu lelaki tempatan berumur 67 tahun semalam.
“Mangsa yang merupakan pesara swasta memaklumkan terpedaya dengan sindiket pelaburan itu selepas dijanjikan pulangan untung antara 20 hingga 30 peratus dalam masa tiga hari.
“Suspek juga memaklumkan keuntungan tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi pelaburan milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seng Lee berkata, mangsa kemudian membuat sebanyak 32 transaksi pembayaran berjumlah RM431,000 ke dalam tuga akaun bank tempatan bermula dari 17 Mac hingga 15 Mac lalu.
Selepas pembayaran dibuat mangsa menyemak aplikasi tersebut dan mendapati jumlah keuntungan mencecah RM3 juta.
Seng Lee berkata, bagaimanapun apabila mangsa mencuba untuk keluarkan keuntungan yang diperolehi, mangsa diminta untuk membuat pelaburan tambahan sebanyak RM30,000.
“Mangsa yang gagal mengeluarkan wang pelaburannya mula mengesyaki dirinya ditipu dan membuat laporan polis,” katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette















