Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Tuan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara syarikat Computer Forms (Malaysia Berhad dan Energy Absolute Public Company Limited di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mahu isu mengenai hubungan kerjasama antara Pas dengan Barisan Nasional (BN) dapat diselesaikan secepat mungkin sebagai usaha mengelak kekeliruan jentera Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketuanya, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya mahu pimpinan tertinggi dapat memurnikan situasi bagi menunjukkan kepada pengundi kedudukan sebenar parti-parti gabungan dalam PN.

“Kita kena ingat yang pengundi PN ni banyaknya pengundi atas pagar, anak muda yang meluat dengan politik kleptokrasi dan juga politik yang ekstrem oleh Pakatan Harapan (PH).

“Jadi, kita perlu menghantar mesej yang jelas kepada pengundi atas pagar, Perikatan Nasional adalah parti yang berada di tengah-tengah yang boleh mengimbangi kekurangan yang ada dalam BN dan PH.

“Saya harap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang boleh menjernihkan keadaan dengan secepat mungkin demi jentera kami di bawah dan pengundi yang sedang menunggu (melihat hubungan antara parti dalam gabungan PN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangni Perjanjian Persefahaman antara Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFMB) dan Energy Abdolute Thailand (EA) di sini, hari ini.

Beliau menggantikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang sepatutnya menyempurnakan majlis tersebut.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila mahu mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi bagi mendapatkan pengesahan mengenai pertemuan antara Presiden Pas itu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa lalu.

Menurut Muhyiddin, pertemuan dengan Hadi itu juga bagi membincangkan kedudukan Pas dalam PN susulan kenyataan parti yang cenderung mahu bekerjasama dengan UMNO sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila mengumumkan BN merupakan musuh yang perlu ditentang pada PRU akan datang, Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau faham mengapa bosnya berkata demikian.

Ujarnya, tidak ada sebarang kata putus yang boleh menunjukkan bahawa Bersatu dan UMNO boleh bekerjasama untuk elak pertembungan pada pilihan raya akan datang.

Tambahnya, beliau faham Pas cuba bertindak sebagai orang tengah untuk mendamaikan kedua-dua pihak dan ia merupakan satu usaha yang bagus.

“Kita tidak pernah menghalang mana-mana untuk membentuk ruang perbincangan sebegini. Jadi, biarlah perkara ini diuruskan oleh kedua-dua presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memahami apakah sebenar yang sedang berlaku pada ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette