Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

BERA – Keperluan untuk menambah bilangan anggota dan balai polis di beberapa daerah di negeri Pahang akan dikaji semula mengikut jarak dan kepesatan penduduk di sesebuah kawasan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia berikutan sasaran masa tindak balas polis terhadap penggilan iaitu dibawah lapan minit.

“Pahang adalah satu negeri yang luas. Umpamanya di Muadzam, di Rompin, atau Jerantut. Kawasan atau daerah itu luas, bayangkan masa yang perlu diambil untuk sampai ke lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas menghadiri Program ‘Town Hall Discussion’ peringkat kontinjen Pahang bersama Ketua Polis Pahang 2022 di Dewan Semai Bakti, Felda Triang 3, di sini hari ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (duduk tengah) di Program ‘Town Hall Discussion’ peringkat kontinjen Pahang bersama Ketua Polis Pahang 2022 di Dewan Semai Bakti, Felda Triang 3, Bera hari ini.

“Kadang-kadang apabila melibatkan panggilan kes pecah rumah atau kes terpencil dan sebagainya, memang ada berlaku respon yang lewat sedikit,” tambahnya.

Bagi menangani isu terbabit, beliau menjelaskan pihaknya tetap bersedia dengan balai polis bergerak, Mobile Patrol Vehicle (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat sentiasa dijaga.

Namun, beliau mengakui fitrah manusia, anggota polis juga tidak sepanjang masa sempurna dan cepat untuk meliputi segenap penjuru sesuatu kawasan.

Bagi terus mengurangkan indeks jenayah di sesebuah kawasan, Ramli berkata, kerjasama erat antara orang awam dan polis melalui polis komuniti atau ‘Community Policing’ dilihat merupakan pendekatan yang paling ideal.

“Kita ada 11 daerah. Jadi sebab itu kita kena sentiasa bergerak atau ‘mobile’. Ada sektor yang ditetapkan. Tapi ada perancangan di peringkat daerah untuk menangani sekiranya ada sesuatu insiden atau kes berlaku,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Program ‘Town Hall Discussion’ peringkat kontinjen Pahang hari ini, Ramli berpuas hati dengan sambutan dan maklum balas yang diterima dari masyarakat.

Program yang kali kedua diadakan itu katanya, bertujuan memberi didikan kepada masyarakat tentang peranan PDRM dan agensi berkaitan disamping menyuntik semangat dan dorongan kepada orang ramai agar terus bersama-sama dalam usaha membanteras jenayah.

Sesi bual bicara selama dua jam tersebut turut menampilkan tiga panelis wakil agensi iaitu Penolong Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang, Mat Yusof Abdul Rahman; Pengarah Wilayah Felda Mempaga, Mohd Saidee Salleh dan Ketua Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Timur, Khairil Husni Ahmad.

Pelbagai isu dan pandangan berkaitan telah disuarakan dalam kalangan 500 peserta yang hadir iaitu terdiri daripada pemimpin setempat, ketua-ketua peneroka dan penduduk kampung berhampiran.

Terdapat juga peserta yang mengutarakan kebimbangan berkaitan peningkatan kes kecurian buah sawit selain pandangan mengenai keperluan penambahan bilangan balai polis di kawasan masing-masing. – MalaysiaGazette