Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mengambil lima tindakan segera bagi memerangi jenayah penipuan dalam talian (online scams).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, strategi itu perlu dilaksanakan susulan lima langkah Bank Negara kerana jenayah itu bersifat cepat berubah mengikut masa.

Beliau berkata, kerajaan perlu menubuhkan satu pusat anti-scam kebangsaan melibatkan beberapa agensi yang berpangkalan di BNM.

Antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pejabat Peguam Negara, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Cybersecurity Malaysia dan Ombudsman for Financial Services.

“Kedua, meminda atau mengubah had kerugian bagi transaksi dalam talian tanpa kebenaran dari RM25,000 ke RM100,000 bagi Ombudsman for Financial Transaction, supaya lebih ramai mangsa scammer akan mendapat akses perkhidmatan OFS;

“Ketiga, mewujudkan Dana Pemulihan (Recovery Fund) bagi membantu mangsa scam dari segi kewangan, sama ada dengan ganti rugi penuh atau separa penuh jumlah yang dicuri scammer,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam masa yang sama, Fahmi mencadangkan kerajaan menubuhkan pasukan petugas peringkat tinggi bagi mendakwa mereka yang terlibat membuat panggilan scammer di mahkamah.

“Ini termasuk menempat atau melindungi penjenayah scammer, serta merancang aktiviti scammer, termasuk dengan mendapatkan kerjasama ASEAN dan Interpol bagi menahan dan mengekstradisi penjenayah-penjenayah sekiranya pusat-pusat panggilan atau aktiviti jenayah scammer tersebut berpangkalan di luar negara,” tambahnya.

Menurut Fahmi, kerajaan perlu menjalin hubungan pelbagai hala (multi-lateral) di antara negara-negara ASEAN untuk mempertingkat keselamatan siber di negara masing-masing.

Jelasnya, ini juga akan dapat membuka peluang untuk mewujudkan protokol-protokol kerjasama termasuk daripada segi undang-undang dalam usaha menghapuskan jenayah scammer di rantau ASEAN.

Terdahulu Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan menyambut baik pengumuman Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus bahawa beberapa tindakan segera akan dilakukan institusi-institusi kewangan bagi memerangi jenayah penipuan dalam talian. – MalaysiaGazette