TANJONG KARANG – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi jaminan kompleks baharu Hospital Tanjong Karang, di sini. akan mula beroperasi sepenuhnya berkuatkuasa 10 Oktober ini.
Beliau berkata, dengan status baharu sebagai Hospital Pakar Minor berkapasiti 150 katil, ia diharap dapat mengurangkan jumlah kes dirujuk ke Hospital Sungai Buloh yang terletak 62.3 kilometer dari Hospital Tanjong Karang.
“Apabila hospital ini diserahkan hari ini, tapi bila operasinya, ini soalan berkait kerana Tan Sri Noh Omar tidak mahu dituduh hari ini semata-mata kita buat majlis serah hospital tapi akhirnya pengoperasian hospital akan mengambil masa berbulan-bulan.
“Hari ini Tan Sri saya ingin memberi jaminan bahawa kompleks baharu ini akan mula beroperasi pada 10 Oktober 2022,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Kompleks Baharu Hospital Tanjong Karang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, dengan terbinanya kompleks baharu ini, Hospital Tanjong Karang akan dinaik taraf daripada hospital tanpa pakar kepada Hospital Pakar Minor.
“Bermula 10 Oktober ini, 10 bidang kepakaran akann diperkenalkan di hospital ini secara berfasa merangkumi Pembedahan, Kecemasan, Perubatan Umum, Obstetrik & Ginekologi, Pediatrik, Ortopedik, Anestesiologi, Radiologi, Patologi serta Bedah Mulut dan Maksilofasial.
“Hospital ini turut menawarkan perkhidmatan pakar secara lawatan bagi Otorinolaringologi (ORL), Oftalmologi, Psikiatrik dan Forensik,” jelasnya.
Katanya, sebanyak RM1.5 juta kos penghantaran pesakit dari Hospital Tanjong Karang ke hospital pakar lain dapat dijimatkan dengan adanya perkhidmatan kepakaran di hospital ini,
“Sebanyak 3,000 kes rujukan melibatkan kos penghantaran pesakit dari Hospital Tanjong Karang ke hospital pakar yang lain iaitu sebanyak RM1.5 juta dapat dijimatkan kerana kes-kes bagi bidang-bidang tersebut boleh dilaksanakan di sini,” katanya.
Selain itu, jelasnya, sebanyak RM600,000 dapat dijimatkan apabila perkhidmatan radiologi di hospital itu ditingkatkan dengan menempatkan seunit mesin CTScan.
“Sekurang-kurangnya 1,200 kes rujukan pesakit dalam dan pesakit luar dari sini ke fasiliti luar dapat dikurangkan dengan penjimatan kos sebanyak RM600,000 setahun,” katanya. – MalaysiaGazette