KOTA KINABALU – DAP akan bersifat lebih pragmatik dan mengambil kira keadaan semasa apabila merangka manifesto pilihan raya parti itu.
Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Chan Foong Hin berkata, DAP akan melakukan perubahan dan transformasi dalam menghasilkan manifesto untuk pilihan raya akan datang.
“DAP pada masa ini sedang mengenal pasti 30 isu dan cabaran semasa dan masa depan yang perlu dihadapi.
“Pendekatan akan disusun berhubung isu-isu ini dan kami dan rakyat memerlukan sifat pragmatik dalam pentadbiran negara,” katanya kepada Sinchew Daily.
Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, semasa pilihan raya lalu, beliau juga bertanggungjawab untuk merangka dan menyusun manifesto untuk bahagian Borneo.
Beliau juga mengakui DAP terlalu idealistik dan kekurangan pengalaman pentadbiran semasa merangka manifesto yang lalu.
“Tidak boleh katakan bahawa kami mengeluarkan janji kosong, cuma kami terlalu idealistik dan banyak statistik tidak dapat dikuasai secara tepat,” katanya.
Mengenai manifesto lalu tentang hak Sabah dan Sarawak yang masih tidak ditunaikan, Foong Hin berkata, isu tersebut akan terus dimasukkan dalam manifesto akan datang dengan cara pelaksanaan yang lebih baik.
Beliau juga ditanya tentang manifesto mengenai 20 peratus royalti minyak untuk Sabah dan Sarawak.
Foong Hin berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan pernah membincangkan kaedah alternatif untuk royalti tersebut.
Katanya, sekiranya kerajaan PH tidak ditumbangkan, maka pendekatan penyelesaian akan dibincangkan secara lebih lanjut antara Persekutuan dengan kerajaan negeri.
Walau bagaimanapun, Foong Hin juga mengakui walaupun kerajaan PH menggerakkan pelbagai transformasi dalam tempoh 22 bulan semasa mentadbir negara, tetapi perkembangannya adalah perlahan dan menerima halangan parti politik lain.