KUALA LUMPUR – Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi meluahkan rasa kecewa terhadap kritikan yang dilontarkan oleh peminat bola sepak tanah air ke atas Mohamadou Sumareh selepas Malaysia tewas kepada Tajikistan pada perlawanan akhir kejohanan empat penjuru iaitu King’s Cup 2022 di Chiang Mai, malam tadi.
Menerusi laman Instagram Story miliknya, Liridon memuat naik satu gambar yang menyatakan pemain naturalisasi dianggap sebagai warga Malaysia sekiranya pasukan kebangsaan menang namun sekiranya kalah, mereka digelar sebagai imigran.
“Kita dianggap warga Malaysia apabila menang. Bila kalah, kita adalah imigran,” tulis Liridon.
Pada aksi menentang Tajikistan, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menurunkan Sumareh untuk tampil dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Arif Aiman yang beraksi pada perlawanan sebelumnya bertemu Thailand.
Namun pemain naturalisasi kelahiran Gambia itu itu gagal untuk menampilkan prestasi terbaik apabila bergelut membantu jentera serangan pasukan negara dan tidak memberi ancaman kepada kubu pertahanan pasukan lawan.
Detik yang paling mengecewakan apabila Sumareh hampir saja dibuang padang selepas melakukan terjahan berbahaya terhadap pemain lawan, Ehsoni Panshanbe, ketika dia sudah dilayangkan kad kuning sebelumnya.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai, Malaysia terikat tanpa jaringan dengan Tajikistan pada masa sebenar permainan dan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti bagi menentukan pemenang.
Sebelum itu, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menjaga pintu gawang skuad negara meneruskan kecemerlangan dalam menafikan tiga percubaan jarak jauh cukup menarik yang dilakukan oleh oleh Mukhammadzhon Rakhimov, Ekhson Pandzhshanbe dan Manuchekhr Safarov.
Anak buah Petar Segrt berpeluang untuk mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-84 tetapi jaringan Rustam Soirov dibatalkan oleh pengadil kerana dia terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Kegagalan tiga pemain negara iaitu Dion Cools, Nazmi Faiz Mansor dan Safawi Rasid menyempurnakan sepakan penalti jelas menghampakan untuk kejuaraan menjadi milik negara Asia Tengah itu walaupun Ahmad Syihan Hazmi berjaya menyelamatkan sepakan pertama Akhtam Nazarov.
Sementara itu, Thailand menduduki tempat ketiga selepas menundukkan Trinidad & Tobago 2-1 hasil jaringan daripada Channarong Promsrikaew dan Suphacok Sarachart. – MalaysiaGazette