Noh bersama Ismail di majlis makan malam Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS) di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Peranan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform menyatupadukan orang Melayu di negara ini ditagih bagi memastikan tiada lagi perpecahan yang berlaku khususnya disebabkan politik.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata, dengan menjadikan perjuangan bangsa sebagai fokus, NGO boleh menjadi ejen penyatuan kepada bangsa tanpa mengambil kira fahaman politik.

Katanya, ahli pertubuhan sukarela terdiri daripada pelbagai latar belakang dan parti, tetapi itu semua diketepikan di dalam pertubuhan.

“Dalam NGO ini ada matlamat perjuangan mereka ditubuhkan. Jadi kita harap mereka akan cakap perkara yang benar dan jangan terpengaruh dengan mana-mana parti politik.

“Kalau dia NGO Melayu dia kena berani cakap mengenai Melayu, kalau NGO belia, mengenai belia tanpa mengira fahaman politik,” katanya selepas Majlis Makan Malam Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS) di sini semalam.

Hadir sama, Presiden Permas, Datuk Ismail Awang.

Noh berkata, beliau yakin pertubuhan Melayu seperti PERMAS mampu menyatupadukan rakyat berdasarkan perjuangan mereka selama ini.

Katanya, ia berdasarkan kemampuan NGO berbaiah itu untuk bergabung di bawah satu organisasi untuk memartabatkan bangsa.

“Saya lihat PERMAS dapat menggabungkan pertubuhan ayahanda ini. Walaupun dia banyak tapi dia ada induk yang gabungkan,” katanya.

Sementara itu Ismail berkata, pihaknya akan terus berusaha menjadi contoh kepada NGO Melayu dalam usaha memastikan bangsa terus kuat mendepani cabaran.

Katanya, ia termasuklah memastikan ekonomi ahli diperkukuhkan selain menjalankan program yang boleh menaikkan semangat perjuangan bangsa.

“Sebab itu kita tubuhkan koperasi untuk memastikan ekonomi dapat kita kukuhkan. Dengan cara itu, kita dapat pastikan orang Melayu dapat bersaing dengan bangsa lain di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette