perkhemahan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas tidak dapat menerima kenyataan ada pihak yang melabelkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah parti politik terutamanya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melabelkan BN sebagai musuh adalah sangat tidak wajar.

Pas berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan kedudukan dan kuasa orang Islam dalam pemerintahan sesebuah negara yang majoritinya terdiri dari umat Islam seperti Malaysia.

“Kenyataan seumpama itu lebih-lebih lagi dilihat tidak wajar dan janggal sekiranya pihak yang dilabelkan sebagai musuh utama tersebut adalah rakan muafakat dalam kerajaan yang dipimpin bersama.

“Pas sentiasa yakin hanya dengan perpaduan di antara parti-parti utama Melayu-Islam dalam negara ini sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang stabil, adil dan berkebajikan kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan satu muka surat, malam tadi.

Kenyataan itu dikeluarkan Pas selang sehari selepas Muhyiddin mengeluarkan kenyataan bahawa musuh utama gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah BN.

Muhyiddin dalam Sambutan Ulang Tahun Ke-6 Bersatu pada Sabtu lalu turut menggesa parti-parti dalam PN tidak membuat kenyataan atau menyatakan pendirian yang bertentangan antara satu sama lain.

Dalam pada itu, Pas menggesa ahlinya agar wala’ kepada arahan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin agar semua pihak yang inginkan perpaduan dan kestabilan negara tercinta ini menghayati dan merealisasikan agenda penyatuan ummah.

“Pas sentiasa komited untuk melaksanakan segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya dalam kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam berteraskan Ayat 10 Surah al-Hujurat yang bermaksud: “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Oleh sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat,” kata Takiyuddin.

Hashim awal hari ini meminta Muhyiddin lebih cermat mengeluarkan kenyataannya mengenai musuh bersama Perikatan Nasional (PN) supaya tidak menjejaskan usaha penyatuan ummah.

“Saya lihat (Muhyiddin) kena cermat dan jangan kasar dalam mengeluarkan kenyataan. Kita kena fikir matlamat penyatuan ummah yang diperjuangkan selama ini,” katanya hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. umno ludah-ludah kat pas setiap hari, sekarang sampai kahak umno pun pas telan. Mana maruah ?? memalukan…

Comments are closed.