Seramai 45 Pati warga Bangladesh serta Myanmar diberkas Jabatan Imigresen Pulau Pinang di dua buah kilang di Juru, hari ini.

BUKIT MERTAJAM –  Masuk melalui jalan tikus, tiada dokumen perjalanan yang sah serta menyalahguna pas.

Itu antara kesalahan yang dilakukan 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikesan Jabatan Imigresen Pulau Pinang dalam serbuan di dua buah kilang di Kawasan Perindustrian Juru di sini, hari ini.

Operasi bermula jam 10.40 pagi itu membabitkan kilang pembuatan plastik dan kotak yang beroperasi dengan menggajikan pekerja asing.

Selain itu, cubaan tujuh PATI cuba meloloskan diri ke kawasan semak sebaik menyedari kehadiran pihak imigresen turut berjaya digagalkan.

Kesemua mereka dibawa ke lokap imigresen untuk siasatan lanjut.

Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Shah Inor Shahbudin berkata, kesemua PATI yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun yang terdiri daripada warga Bangladesh serta Myanmar.

“Mereka yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah, penyalahgunaan pas lawatan dan tinggal di negara ini melebihi masa.

“Selain itu, hasil siasatan mendapati kebanyakan PATIi terbabit dipercayai memasuki negara ini secara haram dengan menggunakan laluan tikus,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Shah Inor, hasil pemeriksaan juga mendapati ada PATI yang sudah bekerja lebih dua tahun manakala sebahagian lagi baru tiga bulan.

“Kita tidak menolak kemungkinan pekerja wanita dari Myanmar yang baru bekerja selama tiga bulan itu masuk melalui laluan tikus kerana mereka tidak mempunyai dokumen.

“Namun apabila kita tanya, dia mengelak untuk memberikan maklumat bagaimana memasuki negara ini,” kata beliau.

Tambah Shah Inor, kesemua tangkapan dibawa ke Lokap Penguatkuasa Pejabat Imigresen Seberang Jaya di sini untuk siasatan lanjut.

“16 Pati disiasat mengikut bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala 29 lagi mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelas beliau. – MalaysiaGazette