Timbalan Ketua Setiausaha Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman bergambar bersama penerima-penerima geran selepas Majlis Penyerahan Geran Keluarga Tunggal PBSMM dalam Pemulihan Kesusahan Hidup dan Kekangan Ekonomi akibat Covid-19 di Hotel Maya, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 51 ketua isi rumah telah menerima ‘Geran Keluarga Tunggal’ dalam usaha membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Ia merupakan program bantuan kewangan yang julung kali ditawarkan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) bersama Shell Malaysia dengan memberikan sokongan dana bernilai RM150,000.

Timbalan Setiausaha Agung PBSMM, Datuk Danial Iskandar berkata, lebih 100 permohonan telah diterima daripada peserta sejak April lalu namun hanya 51 melibatkan ibu atau bapa tunggal yang berjaya melepasi tapisan untuk projek keusahawanan mereka.

“Program ini memerlukan peserta berkongsi idea dan konsep bagi projek keusahawanan dan PBSM akan membuat tapisan sebelum menentukan berapa keperluan mereka sama ada menerima RM1,000 atau maksimum RM10,000.

“Kita bukan sahaja bagi bantuan kewangan ini malah kita beri pendidikan ekonomi bagaimana untuk menjaga dan membina perniagaan. Permohonan terbuka ketua isi rumah tunggal (ibu atau bapa) di seluruh Malaysia.

“Sebaik sahaja peserta menerima geran, mereka akan dipantau selama lima bulan dari September hingga Februari 2023 oleh wakil PBSM di seluruh negara bagi memastikan program keusahawanan mereka berjaya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman. Foto AFFAN FAUZI, 27 SEPTEMBER 2022.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun turut hadir menyerahkan ‘Geran Keluarga Tunggal’ kepada 51 peserta di sini hari ini.

Tambah Danial, kebanyakkan peserta yang menerima geran berkenaan berusia antara 35 hingga 45 tahun dan jumlah geran yang diberikan  bersandarkan pada keperluan dalam keusahawanan mereka.

Dalam pada itu, beliau mengajak syarikat korporat lain untuk tampil bersama-sama membantu dan memberi sumbangan kepada PBSMM bagi mengisi dana bantuan terbabit. – MalaysiaGazette