Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Satu surat diutuskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Perdana Menteri menggesa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengemukakan usul di Dewan Rakyat bagi membahaskan masalah ekonomi apabila Parlimen bersidang semula minggu depan.

Langkah itu, kata Anwar, perlu segera diambil kerajaan terutamanya ketika kejatuhan parah mata wang negara yang dilihat akan menjejaskan kehidupan rakyat.

“Saya mencadangkan sama ada kerajaan untuk membawa usul khas terkait permasalahan ini atau memberi laluan kepada saya selaku Ketua Pembangkang untuk mengemukakannya.

“Saya turut mencadangkan agar permasalahan ini diberi keutamaan untuk dibahaskan dalam minggu pertama sidang parlimen yang akan bermula 3 Oktober depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Anwar, dua permasalahan itu ternyata memberikan kesan kepada rakyat serta negara.

“Ia perlu ditangani dengan kadar segera,” kata Anwar lagi. – MalaysiaGazette