KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO mengucapkan syabas kepada jentera parti itu dan Barisan Nasional di Johor kerana antara yang terawal turun dan bantu mangsa-mangsa banjir di empat kawasan Parlimen.
Secara sinis, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, betul kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menempelak wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) kerana berdegar-degar desak fokus bantu banjir tetapi tidak kelihatan pula.
Katanya, media sosial PH turut sunyi sepi kecuali seorang wakil DAP, Marina Ibrahim yang mengemas kini statusnya melihat keadaan hujan lebat.
”Mana pula jentera parti MUDA yang berdemo di hadapan Sogo tempoh hari?,” tanya Asyraf Wajdi.
Semalam dalam hantaran di Facebook, Onn Hafiz berkata, sehari, dua ini banjir berlaku di Parlimen Iskandar Puteri, Pulai dan Sri Gading.
Namun kelibat ahli Parlimen di kawasan-kawasan ini langsung tidak dirasai.
”Oleh itu, mungkin tidak menjadi masalah untuk PH dan pembangkang lain jika diadakan PRU semasa musim banjir.
”Mereka bukannya turun ke kawasan pun walaupun berlaku banjir. Biasanya masa kempen PRU barulah mereka akan menjelma,” katanya. – MalaysiaGazette