Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja mobilisasi projek Kapal Tempur Persisir (LCS) diyakini boleh disempurnakan hujung tahun ini seperti yang dijadualkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, maklumat lengkap mengenai perkembangan mobilisasi itu akan dimaklumkannya dalam masa terdekat.

Katanya, setakat hari ini, pihaknya berjaya menghidupkan kembali hubungan dengan syarikat pembekal dan vendor projek berkenaan dari dalam dan luar negara.

“Pihak Kementerian Pertahanan juga telah berbincang dengan bank-bank yang terlibat dalam projek ini bahawa kerajaan telah putuskan projek pembinaan kapal LCS ini akan diteruskan dan kita harap pada hujung tahun ini proses mobilisasi ini dapat mencapai kehendak kita dan seterusnya ke proses pembinaan kapal pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Panglima Tentera Darat,  Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Pada Ogos lalu, Kementerian Pertahanan diberi masa enam bulan bagi memobilisasikan usaha menghidupkan semula projek itu dan Hishammuddin percaya kapal pertama akan diterima TLDM dalam masa dua tahun lagi.

Bagaimanapun pada 4 Ogos lepas, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mendedahkan tiada satu pun kapal LCS disiapkan walaupun kontrak projek bernilai RM6.083 bilion itu memperuntuk lima daripada enam kapal itu seharusnya disiap dan diserah setakat Ogos 2022.

Namun, pada 11 Ogos, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pula memaklumkan telah melengkapkan kertas siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS. – MalaysiaGazette