sesi Advokasi Kempen Keselamatan Jalanraya Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini di Taman Esplanade, Kuantan

KUANTAN – Sebanyak 19 kes kemalangan dilaporkan melibatkan penunggang motosikal  sebagai penghantar makanan p-hailing di negeri ini sejak Januari hingga September tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, daripada jumlah itu hanya satu kematian direkodkan.

“Antara kesalahan paling banyak direkodkan pada tahun ini melibatkan penghantar makanan bermotosikal ini ialah kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat.

“Satu kemalangan maut direkodkan pada bulan September manakala 18 kemalangan lain menyebabkan kecederaan pada mangsa,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh (kiri) dan Timbalan Pengarah PERKESO Pahang, Hamzi Hanifa Mahyuddin (kanan)semasa melakukan sesi Advokasi Kempen Keselamatan Jalanraya JSPT Pahang bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini di Taman Esplanade, Kuantan hari ini.

Kamarulzaman berkata ketika ditemui semasa melakukan sesi Advokasi Kempen Keselamatan Jalanraya JSPT Pahang bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Taman Esplanade di sini hari ini.

Menerusi pertemuan satu jam bersama hampir 50 penunggang p-hailing itu, beliau turut menasihati kesemua mereka agar terus menitikberatkan aspek keselamatan dalam mengejar masa untuk menghantar pesanan kepada pelanggan.

Hadir sama, Timbalan Pengarah PERKESO Pahang, Hamzi Hanifa Mahyuddin yang turut mengagihkan topi keledar yang mematuhi ciri spesifikasi yang dibenarkan kepada penunggang motosikal.

Beliau juga mengharapkan golongan berkenaan mempunyai kesedaran kepentingan mencarum pelindungan di bawah program PERKESO bagi memastikan mereka sentiasa dilindungi semasa melakukan pekerjaan.

“Caruman serendah RM46.60 setahun di mana pencarum boleh memohon secara manual dan atas talian bagi membolehkan perlindungan sebelum dan semasa tempoh waktu bekerja dilaksanakan.

“Alhamdulillah, kesedaran semakin meningkat di mana lebih daripada 80 peratus p-hailing di negeri ini mencarum dengan PERKESO bagi menikmati faedah perlindungan ketika berlaku musibah ketika bekerja,” katanya.

Untuk rekod, sehingga kini, hampir 3,000 orang berdaftar sebagai p-hailing di negeri itu namun hanya 2,000 yang giat menjalankan pekerjaan sepenuh masa.

Muhammad Mazlan Abdul Manan (kiri) menerima topi keledar dari Superintendan Kamarulzaman Jusoh

Bagi Muhammad Mazlan Abdul Manan, 42, yang telah berkecimpung lima tahun dalam industri penghantar makanan, program usahasama PDRM dan PERKESO wajar diketengahkan bagi membantu kumpulan itu mengetahui info semasa aspek perlindungan dan keselamatan.

Tambah beliau, untuk menjadi penghantar makanan, mereka perlu mempunyai rekod bersih daripada kesalahan trafik dan mengharapkan semua penghantar makanan sentiasa mematuhi undang-undang peraturan lalu lintas ketika bertugas.

“Kerja ini menambah pendapatan terutamanya kepada generasi muda apabila karier ini sudah mula bertapak di negeri ini sejak tahun 2017.

“Paling utama, karier ini lebih kepada mereka yang bermotor. Jadi secara tidak langsung memberi peluang mereka kerja dan mengurangkan budaya rempit yang tidak berfaedah,” jelasnya. – MalaysiaGazette