Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 14 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Majlis Pemulihan Negara (MPN) tidak mempunyai kuasa pelaksanaan terhadap semua 95 perakuan yang diputuskan dalam mesyuarat bulanannya sejak tahun lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kuasa untuk melaksanakan kesemua syor yang dicadangkan MPN terletak pada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan jemaah menteri.

“Saya ingin jelaskan bahawa MPN dianggotai oleh Menteri Kewangan sebagai Menteri Penyelaras, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Kanan Pertahanan, Menteri Kanan Kerjaraya, Menteri Kanan Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara dan pakar-pakar ekonomi, sosial dan pendidikan termasuk wakil daripada parti-parti pembangkang.

“Sebagai Pengerusi MPN saya tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Menteri atau Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah jabatan kerajaan mengambil langkah-langkah tertentu atau membuat keputusan-keputusan tertentu bagi mempercepatkan proses pemulihan negara.

“Kuasa ini adalah terletak di tangan Perdana Menteri dan Kabinet. Ini bermakna, skop tugas MPN ialah memberi nasihat dan perakuan kepada kerajaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meneliti perakuan yang dikemukakan dan melaksanakannya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kali kesembilan MPN di Kementerian Kewangan, hari ini.

Muhyiddin berkata, majlis itu hanya berfungsi sebagai badan penasihat kepada kerajaan dan setiap perakuan MPN yang dibawa ke Kabinet untuk diluluskan sebelum ia dilaksanakan oleh Kementerian.

Kenyataan itu merujuk kepada kata-kata Ismail Sabri minggu lalu yang mana sekiranya beliau gagal dalam menguruskan ekonomi ia juga perlu ditujukan kepada MPN. 

Ismail Sabri berkata, ini kerana usaha memastikan pentadbiran dan pengurusan negara serta ekonomi bukanlah digalas beliau secara individu, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama.

Dalam pada itu, sebagai pengerusi MPN, Muhyiddin melahirkan kekecewaannya selepas hanya 16 daripada 69 perakuan majlis itu selesai dilaksanakan kerajaan sejak setahun lalu.

Menurutnya, perakuan MPN kepada Kabinet adalah penting untuk membantu memulihkan industri terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tidak mendapat perhatian segera kerajaan.

“Kelewatan bertindak dalam hal ini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

“Saya berasa agak hairan kerana Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenai perakuan ini telah diangkat,” katanya.

Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi MPN pada 4 September tahun lalu oleh jemaah menteri.

Pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi adalah untuk menerajui strategi pemulihan negara demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette