Abdul Hadi Awang Pas UMNO
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Hakikat bahawa Pas bertanding di kebanyakan kawasan UMNO pada pilihan raya membuktikan tuduhan pihak tertentu bahawa parti itu menerima dana RM90 juta adalah tidak berasas.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jika dakwaan itu benar, UMNO yang menyogok RM90 juta sangat kurang cerdik kerana melakukan perkara yang boleh membunuh parti itu sendiri, sehingga menjatuhkan kerajaannya di negeri yang tidak kuat Pakatan Harapan (PH) dan UMNO berada dalam keadaan lebih kuat.

“Dengan RM90 juta kalau benar-benar ada, pasti Pas juga lebih mudah meranapkan PH yang banyak duit perbelanjaan untuk media sosial bagi menyebarkan pembohongan dengan meluas tanpa akidah dan ideologi kerana kepelbagaian anutan ahlinya.

“Pas juga tidak mampu mengadakan media sosial bagi menjawabnya kerana terlalu mahal, apatah lagi untuk menyiarkan fitnah, menipu dan berbohong besar. Balanya tidak mampu dibayar dosanya dengan duit berkali ganda RM90 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Awal bulan ini, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mendakwa Pas telah gagal menjelaskan dakwaan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown bahawa parti itu menerima dana RM90 juta daripada UMNO.

Pemimpin DAP itu membangkitkan tuduhan tersebut walaupun pada 24 Februari 2019, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull telah menegaskan tiada sebarang transaksi bernilai RM90 juta dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun Pas.

Abdul Hadi menambah, sekiranya Pas benar-benar mempunyai sejumlah duit, sudah pasti parti itu tidak akan membocorkannya walaupun sedikit dan sekiranya ada sumbangan sebanyak RM90 juta itu, ia akan dibelanjakan dengan sempurna dan takkan disia-siakan.

Beliau memberitahu, memadai dengan jumlah duit sumbangan ahli-ahli Pas yang majoritinya tidak kaya dan hanya sedikit sahaja orang berada yang menyumbang kepada parti itu yang mana jumlahnya tidak sampai RM1 juta.

“Ramai dalam kalangan yang kaya tidak bersedia untuk menyumbang kerana mereka tidak percaya bahawa Pas boleh menang sehingga berjaya memerintah kerajaan Pusat.

“Namun, Pas boleh bertanding dalam pilihan raya hasil derma ahlinya di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, dan kebanyakannya bertanding di kawasan UMNO.

“Tiba-tiba, Pas mampu menawan tiga buah negeri dan berada dalam kerajaan Pusat dengan langkah mengajak UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pihak-pihak lain bersama menumbangkan kerajaan PH yang rapuh,” jelasnya.

Ahli Parlimen Marang itu secara sinis berkata, Pas boleh menguasai negara sepenuhnya jika dana RM90 juta itu benar-benar wujud.

Menurut beliau, ahli-ahli Pas yang sebenar mengetahui betapa pengorbanannya kerana menegakkan Islam itu memerlukan sumbangan ikhlas dan duit yang halal lagi berkat manakala, wakil rakyat Pas pula diwajibkan membuat potongan wang untuk diserahkan kepada parti.

“Semua lapisan ahli Pas memberikan sumbangan sehingga mereka yang termiskin daripada kalangan petani, nelayan dan buruh kasar menyumbang dengan penuh keikhlasan.

“Bahkan, ada ahli Pas yang menjual tanah dan sebagainya kerana ingin membantu bayaran deposit calon yang bertanding di kawasannya disebabkan calonnya tidak berduit,” katanya.

Abdul Hadi menjelaskan, ramai jentera Pas bekerja secara sukarela dan parti yang pernah bekerjasama dengan Pas pasti dapat menyaksikan sendiri dengan benar tanpa berbohong.

“Bahkan, kadang-kadang Pas terpaksa membayar hutang rakan yang meninggalkan pakatannya dan keluar meninggalkan Pas selepas pilihan raya,” katanya.

Beliau memberitahu, walaupun SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bukti Pas menerima dana tersebut, parti itu sentiasa membuka pintu untuk disiasat.

Abdul Hadi menegaskan, pendukung perjuangan Islam seperti Pas tidak menjual perjuangannya dengan harga RM90 juta atau pangkat dan kedudukan semata-mata.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membuat kenyataan terbuka bahawa Pas tidak meminta jawatan dalam kerajaan sepertimana parti lain, tetapi menerima apa sahaja bentuk tanggungjawab mahupun jawatan yang diamanahkan,” katanya. – MalaysiaGazette