Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memohon peningkatan sebanyak 2.5 peratus daripada RM413.58 juta dalam Bajet 2023 bagi memperkasakan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial di negara ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pertambahan jumlah bajet itu akan melibatkan pembayaran emolumen dan pelbagai elaun bagi pegawai yang menjalankan perkhidmatan psikiatri, psikologi dan kaunseling di hospital dan klinik.

“Sudah tentu dari masa ke semasa untuk cuba meningkatkan lagi perkhidmatan terutama dalam kesihatan mental.

“Sebagai contoh bajet untuk perkhidmatan kesihatan mental iaitu program perkhidmatan sokongan kesihatan mental, kaunseling dan psikososial dari tahun 2021 ke 2022 di mana peningkatan sebanyak 11  peratus.

“Kita telah mohon peningkatan 2.5 peratus lagi untuk bajet tahun depan. Semua ini termasuk termasuk pembayaran gaji kepada kita punya pakar dan kakitangan kesihatan mental dan kita akan berterusan meminta peningkatan dalam bajet kesihatan mental,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Agihan Dana Program Kesihatan Mental Kepada Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) di kementeriannya di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pertubuhan Impact Malaysia, Tan Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad (dua kanan) pada Majlis Agihan Dana bagi Program Kesihatan Mental kepada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2022.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan dana berjumlah RM6.2 juta yang akan diagihkan kepada 52 NGO kesihatan mental yang bergiat aktif dalam melaksanakan aktiviti dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, peruntukan yang diberikan oleh kerajaan itu bagi mengukuhkan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial menerusi aktiviti yang dilakukan.

Beliau berkata, tanggungjawab menangani permasalahan mental mestilah digalas secara bersama antara kerajaan dan masyarakat.

“Saya yakin bahawa agihan bantuan dana kepada NGO-NGO ini akan dapat membantu usaha dalam melaksanakan aktiviti kesihatan mental secara efektif dan bersepadu kepada masyarakat.

“Saya juga ingin ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua NGO yang terlibat dan KKM berterima kasih kepada sumbangan dan tanggungjawab sosial yang telah dilaksanakan.

“KKM akan terus menyokong NGO-NGO yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti kesihatan mental di peringkat lapangan demi kesejahteraan mental masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (dua kanan) beramah mesra dengan sebahagian penerima sijil penghargaan pada Majlis Agihan Dana bagi Program Kesihatan Mental kepada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2022.