Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin parti politik perlu mendahulukan kepentingan rakyat bukan kepentingan politik peribadi yang sempit terutama dalam isu untuk mengadakan pilihan raya.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, umum mengetahui setiap hujung tahun, negeri-negeri di Pantai Timur dan Selatan tanahair bakal menerima hujan yang banyak hingga menyebabkan banjir.

Beliau berkata, pihaknya menyokong penuh cadangan untuk tidak membubarkan Parlimen seterusnya tidak mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat.

“Mungkin ada yang masih ingat kejadian bah besar di Kuala Krai pada tahun 2014. Adalah tidak sensitif untuk mengadakan pilihanraya ketika rakyat ditimpa musibah.

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia mengingatkan semua pihak bahawa setiap kali banjir, rakyat perlu dipindahkan ke kawasan selamat, selalunya bangunan sekolah yang dijadikan pusat petempatan banjir.

“Bagaimana mahu mengadakan pilihanraya yang selalunya pusat pengundian juga dilakukan di sekolah?

“Amatlah tidak masuk akal untuk mengundi di sekolah ketika rakyat cuba meneruskan hidup di pusat petempatan banjir di bangunan sekolah yang sama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, pemimpin parti politik juga harus memikirkan keadaan anak muda yang mahu fokuskan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Melaya (SPM) demi masa depan mereka.

“Sekali lagi, amatlah tidak masuk akal untuk pemimpin politik menggunakan tenaga kerja guru-guru untuk menjaga pusat membuang undi di sekolah daripada menumpukan tugasan guru-guru untuk mendidik anak bangsa.

“Sememangnya pilihanraya adalah proses demokrasi namun percaturan tarikh pilihanraya perlu mengambil kira keadaan rakyat dan anak muda.

“Kiranya mereka yakin menang, pilihan raya boleh diadakan apabila habis penggal, pada waktu itu, rakyat boleh memilih pemimpin pilihan mereka. Menang atau kalah adalah adat bertanding, jadi buat apa tergesa-gesa sekarang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast