Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid . Foto MOHD ADZLAN, 18 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Polis menahan lelaki berusia 56 tahun kerana menyerang seorang penguat kuasa wanita yang mengeluarkan saman lalu lintas terhadapnya.

Ketua Polis Daerah PetalMing Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, penguat kuasa berusia 24 tahun itu telah membuat laporan pada Isnin lepas berhubung kejadian yang dialaminya pada hari berkenaan.

Katanya, lelaki terbabit telah datang kepadanya sambil memaki hamun dengan kata-kata kesat ekoran saman lalu lintas yang dikeluarkannya.

“Bertindak atas maklumat, semalam pada lebih kurang pukul 5 petang sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Petaling Jaya telah menahan suspek bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Sekysen 353 Kanun Keseksanaan kerana menyerang penjawat awam semasa menjalankan tugas.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana telah menggunakan perkataan kurang sopan terhada pengadu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta saksi awam yang menyaksikan kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan dan berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor R. Yugarajan ditalian 014-3049419. – MalaysiaGazette