GEORGE TOWN – Seorang bekas kontraktor mengalami kerugian RM13.3 juta akibat diperdaya dua pegawai bank menerusi ‘pembiayaan semula perbankan rumah’ terhadap 85 pelanggan bank.

Chin Hooi Phang, 59, mendakwa dia didatangi pengurus sebuah bank swasta berusia 36 tahun yang dikenalinya sejak lapan tahun lalu bersama rakannya berusia 35 tahun yang juga pegawai bank.

Katanya, kehadiran mereka adalah untuk membuat pinjaman bagi membolehkan pembayaran segera kepada pelanggan yang mengambil skim pembiayaan semula daripada bank mereka bekerja.

Jelasnya, dua pegawai bank itu mendakwa pengeluaran sebenar daripada skim pembiayaan semula bank akan mengambil masa yang lama, oleh itu menerusi pinjaman tersebut mereka termasuk Hooi Phang mampu memperoleh keuntungan.

Yakin bahawa dua lelaki itu merupakan pegawai bank yang sah membuatkan dia memberi pinjaman RM13.3 juta untuk 85 kes pembiayaan semula rumah sejak Oktober 2020 hingga November tahun lalu.

Video Berkaitan

Bagaimanapun, jumlah keuntungan yang bakal diperoleh tidak didedahkan selain Hooi Phang mendakwa keuntungan 10 kes pertama tidak diberikan sebaliknya pegawai bank itu mendakwa digunakan untuk memberi pinjaman kepada pelanggan lain.

“Daripada jumlah RM13.3 juta yang diberikan kepada mereka itu, RM3 juta hasil simpanan saya sendiri manakala lebih RM10 juta pula dipinjamkan daripada saudara serta kenalan terdekat saya.

“Mereka berdua ada menandatangani perjanjian bahawa akan membayar balik saya secara ansuran namun sehingga kini satu sen pun saya belum dapat balik.

“Saya tidak sangka orang yang mempunyai jawatan dalam bank sendiri boleh menipu. Lebih mengejutkan dokumen yang diberikan sebagai bukti individu yang membuat pinjaman mempunyai harta adalah dimanipulasi daripada data pelanggan bank,” katanya pada sidang media di Pejabat Gerakan Pulau Pinang di Jalan Macalister di sini, hari ini.

Tambah Hooi Phang, pengurus bank itu kini sudah menghilangkan diri manakala rakannya enggan menjawab panggilan selain kedua-dua mereka sudah berhenti kerja.

“Akibat dipercaya sebegini, saya terpaksa menjual semua barang berharganya, termasuk kereta dan jam tangan berjumlah RM800,000 untuk membayar balik wang yang diambil daripada saudara serta kenalan rapat.

“Reputasi saya rosak akibat perkara ini selain hampir enam bulan saya tidak dapat tidur malam mengenangkan masalah yang membelenggu diri.

“Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat terhadap kedua-dua lelaki tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 5 September lalu dan saya harap pihak polis dapat menyelesaikan kes ini kerana bimbang orang lain mungkin menjadi mangsa mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam Gerakan Pulau Pinang, H’ng Khoon Leng berkata, pihaknya akan membantu merujuk perkara itu kepada pihak Bank Negara Malaysia (BNM) memandangkan penipuan ini membabitkan pegawai bank.

“Selain itu, kita juga dapati wujud elemen pemalsuan dan manipulasi data pelanggan bank dalam kes ini.

“Kita uar-uarkan perkara ini untuk memberi kesedaran kepada orang awam selain jika ada mangsa lain lagi untuk tampil ke hadapan membuat laporan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan,” kata beliau. – MalaysiaGazette