KUALA LUMPUR – Elaun alat tulis (EAT) yang diperkenalkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berjaya mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) penjimatan sebanyak 67 peratus atau bersamaan RM146,000.

Elaun itu menggunakan menggunakan pendekatan Behavioral Insights (BI) yang mana elaun yang diterima setiap bulan sebanyak RM30 setiap kakitangan.

“EAT mampu mengatasi masalah pembaziran kertas, pengurangan penggunaan dakwat pencetak, menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam pengendalian mesyuarat dan penggunaan ruang pejabat yang optima untuk tujuan yang lebih produktif seperti bilik mesyuarat dan penempatan pegawai yang leibh selesa,” kata Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman

Selain itu, masa kerja menguruskan hal pentadbiran bekalan pejabat turut berjaya dihapuskan.

Menurutnya, setelah setahun inisiatif ini dilaksanakan ia didapati berjaya mewujudkan budaya pembangunan mampan dalam organisasi serta meningkatkan produktiviti MPC.

MPC menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 melalui pelaksanaan projek rintis Alam Sekitar (Environment), Sosial (Social) dan Tadbir Urus (Governance) (ESG) bagi mengurangkan kos operasi sebanyak 10% tanpa menjejaskan pencapaian yang disasarkan.

Berdasarkan laporan World Competitiveness Yearbook 2022, indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Malaysia kekal berada di kedudukan 45 daripada 64 negara pada tahun 2021 dan 2022.

Pegawai Eksekutif UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB), Faroze Nadar berkata, program perintis ESG bersama MPC ini adalah yang pertama di peringkat sektor awam bertujuan untuk membangunkan strategi pelaksanaan ESG MPC dan pengalaman ini akan membantu MPC membangunkan program ESG untuk Produktiviti Nexus.

Abdul Latif berkata, MPC sedang merancang dan akan membangunkan kerangka ESG yang komprehensif bersama 11 Nexus Produktiviti selaras dengan penubuhan Pusat SDG Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini dalam usaha meningkatkan kedudukan ke tangga lebih baik bagi indikator-indikator berkaitan SDG ke arah pertumbuhan produktiviti negara. – MalaysiaGazette