Petugas unit vektor Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja-kerja penyemburan asap di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Menara City One untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi ke-38 dilaporkan sebanyak 1,533 berbanding 1,363 kes pada minggu sebelumnya, meningkat peningkatan sebanyak 170 kes (12.5%).

Namun tiada kematian akibat komplikasi demam denggi, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pertambahan itu menjadikan kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 42,084 kes berbanding 19,423 kes bagi tempoh sama tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 22,661 kes (116.7%).

Manakala sebanyak 24 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 13 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2021.

Jumlah lokaliti hotspot juga meningkat sebanyak enam lokaliti pada minggu ini dengan sejumlah 48 lokaliti hotspot dilaporkan berbanding 42 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Daripada 48 lokaliti hotspot yang dilaporkan, 28 (58.3%) lokaliti dilaporkan di Selangor, 15 (31.3%) lokaliti di Sabah dan lima (10.4%) lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dalam pada itu, Noor Hisham menambah, survelan chikungunya merekodkan sebanyak lapan kes pada minggu ke-38 dengan tiga kes dari Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing dua kes dari Selangor dan Pulau Pinang serta satu kes dari Kelantan.

Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 646 kes.

Bagi survelan zika, sebanyak 1,452 sampel darah dan 15 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Noor Hisham berkata, nyamuk aedes hanya memerlukan air yang sedikit untuk bertelur dan telur nyamuk aedes dapat bertahan selama lapan bulan dalam keadaan kering.

Musim hujan yang berselang-seli dengan cuaca panas merupakan keadaan yang ideal bagi nyamuk aedes berkembang biak.

”Oleh itu, pastikan tiada bekas-bekas yang menakung air di lorong belakang rumah serta di perkarangan rumah yang boleh menjadi tempat nyamuk aedes membiak.

”Masyarakat juga perlu pastikan kawasan yang berhampiran rumah seperti taman rekreasi dan tanah lot kosong tidak mempunyai longgokan bekas-bekas berpotensi pembiakan dengan menjalankan gotong-royong melupuskan barang tidak terpakai di kawasan kejiranan. Bersama-sama kita basmi aedes di persekitaran kita agar demam denggi dapat dicegah. Tiada aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” ujarnya. – MalaysiaGazette