Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 29 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Biarpun tidak menyumbang kepada perolehan negara, Kementerian Pertahanan beriltizam untuk mewujudkan dasar industri pertahanannya sendiri.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya kini dalam perancangan untuk menggerakkan industri berkenaan bagi menyumbang kepada ekonomi negara.

“Kita (Kementerian Pertahanan – Mindef) tak bawa pulangan kepada ekonomi negara. Jumlah peruntukan Mundef besar tapi tidak membantu tingkatkan prestasi ekonomi negara.

“Sebab itu saya putuskan bahawa tak lama lagi kita akan lancar Dasar Industri Pertahanan Negara.

“Bawah dasar ini yang akan beri tumpuan merancakkan sektor perindustrian pertahanan kita, kita akan buktikan pulangan kepada negara bukan sahaja dari segi keselamatan dan pertahanan tapi bantu perkukuh ekonomi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pembentangan Bajet 2023 minggu depan, Hishammuddin berharap agar Kementerian Kewangan terus memberikan peruntukan sewajarnya kepada Mindef.

Jelas Hishammuddin, peruntukan itu harus terus disalurkan kerana negara tidak boleh berkompromi mengenai isu keselamatan dan kedaulatan negara.

“Saya harap Kementerian Kewangan tetap memahami isu keselamatan dan pertahanan adalah perkara yang tak boleh dinilai dengan wang ringgit,” katanya.

Dalam pada itu, Mindef dalam proses menstrukturkan semula Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) agar ia lebih fokus dan realistik.

Kata Hishammuddin, penstrukturan semula itu akan memfokuskan kepada usaha mendepani keperluan serta isu-isu semasa para Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang semakin mencabar mengikut peredaran masa.

“Usaha penstrukturan ini turut mempertimbangkan keperluan untuk melibatkan pemegang taruh ketiga di dalam majlis agar keputusan yang dibuat dapat menghasilkan kesan dan impak yang tepat buat Veteran ATM di tanah air,” jelasnya. – MalaysiaGazette