KUALA LUMPUR – Penduduk di Klang diingatkan supaya bersiap sedia menghadapi fenomena air pasang besar yang berkemungkinan menyebabkan banjir apabila paras laut boleh mencecah sehingga 5.5 meter sepanjang bulan ini dan Oktober akibat peralihan Monsun dan Monsun Timur Laut.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Noraini Roslan berkata, ramalan dan amaran telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengambil langkah berjaga-jaga mengenai fenomena air
pasang besar ini.
”Susulan itu, MPK telah membuat siapsiaga untuk menghadapi banjir di daerah Klang ini dari segi persiapan logistik, aset dengan melibatkan 25 jenis kenderaan pelbagai guna dan peralatan yang berkaitan dan boleh digunakan pada bila-bila masa,” katanya dalam perutusan mesyuarat penuh MPK pagi ini.
Di samping itu juga 146 orang petugas terlibat dan bersiap sedia dalam menghadapi kemungkinan banjir dan fenomena air pasang besar.
Menurutnya, pada 22 September 2022 yang lalu, MPK juga telah membuat pemeriksaan peralatan dan jentera bagi kesiapsiagaan menghadapi fenomena air pasang besar dan banjir. – MalaysiaGazette