Rakaman saat mangsa hendak dimasukkan ke dalam kereta Vellfire putih yang tular di media sosial semalam.

AMPANG – Seorang ahli perniagaan lelaki yang disyaki diculik oleh sekumpulan individu berhampiran sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 1/23d, di sini semalam telah dilepaskan di Klang.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada pukul 10.45 malam untuk membuat laporan.

Menurutnya, ahli perniagaan itu telah ditarik sekumpulan lelaki menaiki Toyota Vellfire putih ketika sedang berjalan bersendirian selepas makan di sebuah restoran di kawasan itu.

“Mangsa menjerit kuat meminta tolong dan cuba untuk lari melepaskan diri daripada suspek namun tidak berjaya lalu mangsa telah dilarikan menaiki kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 5.03 petang.

Kejadian penculikan ahli perniagaan itu kemudian telah tular di media sosial yang mana satu klip video berdurasi satu minit 11 saat memaparkan sekumpulan penunggang motosikal mengejar kenderaan dinaiki suspek bersama mangsa terbabit.

Ahli perniagaan berusia 38 tahun itu mengalami beberapa kecederaan luka di bahagian kaki dan muka dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya di sini.

Mohamad Farouk berkata, kejadian itu dipercayai berpunca akibat masalah hutang dan polis kini memburu kumpulan lelaki terbabit.

“Suspek yang terlibat dalam jenayah culik itu telah dikenalpasti oleh polis dan usaha menjejaki mereka sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. – MalaysiaGazette