Ahli Parlimen Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sidang Khas Parlimen di dalam Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan supaya Dewan Rakyat yang bakal bersidang semula minggu depan membincangkan permasalahan ekonomi.

Isu itu melibatkan krisis kenaikan harga barang dan kejatuhan ringgit yang telah menjejaskan kehidupan rakyat negara ini.

Dalam sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang itu berkata, krisis ini berlaku selepas pasca pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan dan perkhidmatan kepada rakyat.

Jelasnya, usul dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurut Anwar, usul itu adalah perkara berkenaan dengan kepentingan orang ramai kerana ia melibatkan setiap lapisan masyarakat termasuk golongan rentan dan peniaga.

Oleh itu, katanya, perkara itu hendaklah disegerakan kerana kenaikan mendadak harga barang dan kejatuhan nilai mata wang memberi kesan jangka pendek dan panjang kepada rakyat. – MalaysiaGazette

“Saya berharap usul ini mendapat pertimbangan sewajarnya dari Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Selasa lalu, Anwar menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  mengambil tindakan segera untuk menangani dua krisis berkenaan.

Menurut Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, mana-mana Ahli Parlimen boleh berdiri dan meminta kebenaran  merundingkan perkara tertentu berkenaan kepentingan rakyat dan disegerakan dengan membaca usul yang diluluskan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

Anwar minta kemuka usul masalah ekonomi di Dewan Rakyat