Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin (kanan) bersama penerangan daripada wakil Jabatan Kerja Raya melihat plan pembinaan lokasi tapak projek SMK Kota Warisan, Sepang. Foto MUHD NA'IM, 30 SEPTEMBER 2022.

SEPANG – Guru cemerlang yang berkhidmat di sekolah rendah kini berpeluang dinaikkan gred lebih tinggi sehingga ke tahap DG52 atau DG54 seperti rakan sejawatan mereka di sekolah menengah.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya bersedia untuk mengkaji perkara itu demi manfaat guru cemerlang yang mengajar di sekolah rendah.

Katanya, segala kriteria dan perincian berkaitan perkara itu akan diperhalusi dan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kita sedar sudah ramai guru siswazah iaitu sekitar 90 peratus telah ditempatkan dan mengajar di sekolah rendah dan mereka selepas ini akan diberi ruang sama seperti guru di sekolah menengah.

“Sememangnya perkara ini menjadi perbincangan namun tertakluk kepada kriteria dan perincian tertentu yang akan kita umumkan kelak,” kata beliau selepas ditemui pemberita ketika melawat tapak projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Radzi mengakui perkara berkenaan menjadi perbincangan disebabkan jumlah guru sekolah rendah yang mencapai ke gred itu sudah meningkat.

Ujarnya, guru cemerlang sekolah rendah akan diberi ruang kepada mereka sama seperti yang dinikmati oleh guru di sekolah menengah yang mana akan diberi kouta yang lebih tinggi termasuklah ke Gred 52 dan 54.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KPM menyedari perkara itu dan bersedia mengkaji laluan kerjaya guru cemerlang di sekolah rendah.

Guru cemerlang disandarkan sebagai pakar rujuk dalam bidang atau mata pelajaran diajar.

Penyebaran ilmu dan pengetahuan guru cemerlang dilihat mampu untuk dimanfaatkan kepada bidang lain seperti penggubal soalan peperiksaan, penulis buku teks dan bahan ilmiah.

Ketika ini kenaikan gred untuk guru cemerlang di sekolah rendah hanya sekadar kuota Gret 48 sahaja berbanding guru sekoleh menengah yang boleh mencapai Gred 52 dan 54 sebagai pemegang ijazah sarjana muda.

Perkara ini dilihat seolah-olah tidak adil kepada guru sekolah rendah sedangkan mereka semua mempunyai tahap pendidikan sama iaitu kelulusan ijazah pertama untuk menjadi guru.

Dalam pada itu, Radzi juga menegaskan, gred bagi guru penolong kanan juga akan dinaikkan pangkat sekiranya mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan KPM.

“Sekarang ini sudah sampai masanya untuk gred guru-guru siswazah ditingkatkan yang membolehkan mereka tidak boleh duduk di jawatan pentadbiran sekiranya kementerian tidak naikkan gred tersebut,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) telah bersetuju untuk meningkatkan gred tersebut.

“Guru penolong kanan tak perlu risau kerana kementerian telah membuat penyusunan semula dalam model baharu struktur dalam organisasi di sekolah dan perincian akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Semalam, KPM memutuskan untuk terus mengekalkan jawatan guru besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52, tanpa perlu kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah. – MalaysiaGazette