Firdaus Wong Wai Hung

TENOM – Satu hantaran bertarikh 26 Julai 2021 di media sosial oleh saksi pertama dalam perbicaraan gangguan seksual Ebit Lew, tidak merujuk kepada pendakwah itu.

Presiden pertubuhan bukan kerajaan Multiracial Reverted Muslims (MRM) Firdaus Wong Wai Hung, 39, yang juga seorang pendakwah, memberi keterangan sebagai saksi ketiga dalam perbicaraan itu memberitahu Mahkamah Majistret di sini, hantaran menerusi akaun Facebook Akhi Fairuz Al-Jengkawi milik saksi pertama Mohd Fairuz Abu, 37, hanya meletakkan pendakwah selebriti terkenal.

“Selain itu, kami menerusi sayap wanita MRM juga sedang mengendalikan beberapa kes melibatkan individu-individu yang berpengaruh dalam masyarakat. Majoriti mangsa yang mengadu tidak tahu dan takut untuk mendapatkan keadilan.

“Maka, posting (kiriman) itu tidak merujuk kepada Ebit Lew sahaja kerana sehingga kini menerusi sayap wanita MRM masih menerima kes-kes lain yang berprofil tinggi,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria hari ini.

Wong memberitahu hantaran itu dibuat oleh Mohd Fairuz menerusi akaun Facebooknya selepas mereka berbincang bahawa terdapat wanita lain yang telah mengadu kepada mereka mengenai gangguan seksual oleh Ebit Lew.

“Maka kami menawarkan, jikalau ada wanita di luar yang menjadi mangsa seksual atau gangguan seksual, untuk tampil ke hadapan tanpa perlu risau,” katanya.

Zahida:Adakah kamu tahu bagaimana permulaan pengadu (mangsa), membuat aduan kepada Mohd Fairuz?.

Wong: Ya, saya tahu bagaimana permulaan pengadu membuat aduan kepada Akhi Fairuz (Mohd Fairuz) iaitu selepas beliau (pengadu) melihat satu kiriman oleh Mohd Fairuz, pengadu telah berhubung dengan Akhi Fairuz menerusi telefon (aplikasi) Whatsapp.

Zahida: Apa kiriman yang kamu maksudkan?

Wong: Kiriman yang saya maksudkan adalah satu kiriman di Facebook.

Zahida: Kamu boleh ingat apakah kandungan kiriman tersebut?

Wong: Antara isi kandungan kiriman yang saya ingat adalah berkaitan kesediaan, kesanggupan dan penawaran dari Akhi Fairuz untuk membantu mangsa-mangsa gangguan seksual.

Wong turut mengecam sekeping gambar daripada lapan gambar kemaluan lelaki yang dikongsi oleh Mohd Fairuz, yang menerima gambar berkenaan daripada pengadu.

Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung pada 20 hingga 22 Dis depan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast