Para pelatih mengaminkan doa selepas menunaikan solat secara berjemaah pada Solat Hajat Perdana demi menyelamatkan Keselamatan Madrasah Darussolihin daripada difitnah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pekarangan Madrasah Darussolihin di Jalan Kebun, Klang. Foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2022.

SHAH ALAM – Madrasah Darul As-Solihin, Jalan Kebun yang terpalit dengan dakwaan penderaan ala militan melahirkan rasa kesal apabila usahanya untuk memulihkan bekas penagih dadah dan penghuni penjara cuba disalahertikan pihak tertentu.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Masridzi Sat menegaskan, lebih dikesali perjanjian antara keluarga dan pusat perawatan itu cuba diputarbelitkan sedangkan ia salah satu syarat pemulihan di madrasah itu.

“Isu kontroversi baru-baru ini merupakan isu tragis kerana tidak adanya tabayyun, sedangkan kita sedang memulihkan anak-anak yang terlibat dalam pelbagai masalah gejala sosial dan keruntuhan akidah.

“Sudah tentulah perawatan ini perlu masa panjang untuk sembuh. Tarbiyah di sini makan masa tiga tahun yang mana peringkat pertama sama ada dipaksa oleh keluarga atau datang dalam keadaan tidak rela.

“Maka berlaku proses mereka memberontak, mereka cari jalan nak balik ke rumah, macam mana cara nak keluar jumpa kawan-kawan mencari dadah dan sebagainya.

“Kita tidak benarkan mereka terlalu banyak berinteraksi dengan keluarga, sebab itu ada perjanjian empat bulan, tidak boleh bertemu dengan keluarga,” katanya kepada MalaysiaGazette di Madrasah Darul As-Solihin, Jalan Kebun, di sini, malam ini.

Masridzi Sat

Beliau mendakwa ada pihak yang tidak senang dengan usaha pihaknya menjalankan pemulihan itu menggunakan kaedah rawatan Islam.

“Rasa tak seronok nak melihat pondok, melihat madrasah, dia benci sebencinya sebab hatinya berpenyakit. Sebab itu dia tak boleh tengok orang kuat dengan agama.

“Sekarang peperangan akhir zaman, the new order, agenda dia nak hapuskan pondok-pondok, hapuskan agama, negara-negara Arab sudah punah-ranah lama dah sebab mereka dilaga-lagakan.

“Musuh tak senang tengok kita bersatu, kita berkumpul dengan jumlah yang ramai, mereka tengok kekuatan ini datang daripada madrasah-madrasah dan pondok-pondok.

“Maka mereka menyerang melaga-lagakan pondok-pondok kita ini,” dedahnya.

Seorang pelatih mengaminkan doa selepas menunaikan solat secara berjemaah pada Solat Hajat Perdana di Pekarangan Madrasah Darussolihin di Jalan Kebun, Klang. Foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2022.

Mengulas lanjut, beliau berkata, amalan zikir, selawat dan ibadah sunat lain menjadi salah satu kaedah rawatan Islam yang digunakan oleh pihak madrasah itu untuk memulihkan pelatih-pelatihnya yang berdepan pelbagai masalah sosial.

“Mereka ini bila sebut Nabi Muhammad SAW, mereka dah rindu berselawat, ini dikatakan kita nak sejukkan syaitan yang panas daripada dadah dan maksiat ini, kita kena banyakkan zikir dan selawat dan ibadah.

“Kita nak alihkan perhatian dia daripada rindu kepada dadah, perkara-perkara maksiat, beralih rindu selawat kepada Rasulullah SAW, rindu ibadah, rindu nak berbuat kebaikan.

“Inilah modul-modul yang kita jalankan di pusat-pusat rawatan Islam yang kita ada, banyak guru di sini, kita tak ikut kaedah barat, mungkin mereka sesuai dengan cara beri ubat metadon dan perubatan moden, silakan kita tiada masalah.

“Ini ikhtiar masing-masing, kita menghormati modul masing-masing, tetapi modul Islam begitu. Cuma rawatan ini kita perlukan kesabaran dalam berubat,” jelasnya.

Para pelatih menunaikan solat secara berjemaah pada Solat Hajat Perdana bdemi menyelamatkan Keselamatan Madrasah Darussolihin daripada difitnah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pekarangan Madrasah Darussolihin di Jalan Kebun, Klang. Foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2022.

Tambahnya, usaha madrasah hanya untuk memastikan pelatih-pelatih kembali kepada Islam dan bukannya militan seperti mana yang digembar-gemburkan pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.

“Hari ini tuan-tuan datang, agak-agak ala militan ke tempat ini? Tuan-tuan nampak orang berzikir berselawat, kita ini macam ala militan ker?

“Macam mana mereka meletakkan madrasah seperti ala militan, supaya CIA datang ke mari kononnya kita militan, supaya kita dicop sebagai golongan-golongan mesti diharamkan oleh kerajaan.

“Ini bukan militan, orang berselawat kepada Rasulullah SAW, anak-anak ini rindu kepada Rasulullah SAW, anak-anak ini menyantuni para ulama, para habib, santuni orang-orang tua, kita didik mereka dengan akhlak terpuji.

“Biasalah dalam setandan pisang ada sebiji dua yang busuk, itu normal, tidak ada yang sempurna, tapi jangan diperbesarkan yang bermasalah, yang tak tamat rawatan, mereka masih bermasalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast