Kunjungan hormat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ke atas Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Dr. Ngozi Okonko-Iweala di Geneva hari ini.

GENEVA – Kunjungan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ke atas Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Dr. Ngozi Okonko-Iweala hari ini menyentuh pelbagai isu berkaitan sumbangan pertubuhan itu terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan pertemuan itu sangat bermanfaat dan berguna.

Pada pertemuan itu, Alexander Nanta diiringi Wakil Tetap Malaysia ke WTO, Dr Rashidi Said.

Pada ucaptamanya Iweala mengucapkan tahniah terhadap prestasi ekonomi Malaysia yang secara relatifnya utuh dan teguh.

Beliau menegaskan, Malaysia kekal aktif dalam pembabitannya di peringkat WTO dan diyakini berupaya menjadi penyumbang utama ke arah agenda pihaknya dalam aspek pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

Sementara itu, Alexander juga turut berkongsi peranan kementerian dalam menyelia aspek kos sara hidup sekali gus menyokong pandangan Iweala bahawa wujud keperluan untuk “kita berfikir di luar kotak dan mencapai matlamat yang digariskan” termasuk merungkai rangkaian cabaran seperti isu berkaitan harga makanan.

“Berikutan isu kelaparan di peringkat global yang semakin meruncing susulan pandemik dan krisis keselamatan makanan yang masih membelenggu dunia, Malaysia juga mengalu-alukan inisiatif WTO dalam memastikan bekalan keperluan asas yang mencukupi serta dijual pada harga berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia diyakini berupaya membantu negara seperti Malaysia dalam mengurangkan beban kewangan menerusi penyaluran peruntukan subsidi terhadap barangan makanan kepada masyarakat.

Harga barangan akan merekodkan penyusutan dengan aliran perdagangan yang baik dan disokong rangkaian bantuan mudah cara sekali gus menjana manfaat kepada pengguna.

“Inisiatif lain direncana WTO yang disifatkan sebagai amat bertepatan untuk Malaysia adalah Inisiatif Kenyataan Bersama mengenai Perdagangan Elektronik. Hal ini kerana pandemik mencetuskan perubahan transaksi oleh pengguna,” katanya lagi.

Justeru, inisiatif berkaitan perdagangan elektronik ini bakal
membantu Malaysia untuk mengawal selia sektor ini sewajarnya selain tidak merencatkan pertumbuhan industri.

Dalam merintis pertumbuhan sektor perdagangan elektronik, kementerian menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia akan melaksanakan kajian pasaran bagi memastikan sektor ini kekal berdaya saing tanpa menjejaskan pasaran dalam talian.- MalaysiaGazette