SEBERANG PERAI – Video tular memaparkan seorang murid perempuan dilarikan di hadapan sebuah sekolah di Kepala Batas di sini, semalam bukan membabitkan kes culik.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, insiden itu sebenarnya membabitkan perebutan hak penjagaan anak melibatkan nenek serta ibu kepada kanak-kanak itu.
Jelas beliau, pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa cucu perempuannya berusia sembilan tahun dilarikan oleh bekas menantunya menaiki sebuah kereta.
Kata Mohd Radzi, insiden itu dikatakan berlaku di hadapan sekolah pada jam 1.30 petang sebaik kanak-kanak itu pulang dari sekolah.
“Dalam kejadian itu, pengadu (nenek mangsa) mengalami kecederaan datang ke balai polis membuat laporan untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati perebutan hak penjagaan ini berlaku sejak ibu bapa kanak-kanak itu berpisah pada 2013 dan proses tuntutan hak penjagaan masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
“Ibu kanak-kanak terbabit juga telah membuat laporan polis dengan menyatakan anaknya itu kini selamat di bawah jagaannya selain menyerahkan kes berkenaan kepada peguam dan pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, malam tadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut Mohd Radzi berkata, pada masa sama, terdapat satu video tular yang menyangka kejadian itu adalah kes culik.
“Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi tidak benar berkaitan video perebutan hak penjagaan anak itu,” katanya.
Terdahulu, tular dua rakaman video memaparkan seorang wanita warga emas tersembam di atas jalan ketika cuba berlari mendapatkan semula cucunya yang dibawa lari menaiki sebuah kereta jesni Volkswagen berwarna hitam.
Video yang dimuat naik berdurasi satu minit 30 saat itu turut menunjukkan seorang lelaki yang juga suami kepada wanita warga emas tersebut menghalang seorang wanita melarikan kanak-kanak berkenaan. – MalaysiaGazette