KUALA LUMPUR – China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) telah memeterai kerjasama dalam menambah baik pelaksanaan Pelan Pengurusan Hidupan Liar, satu inisiatif untuk kerja-kerja pemuliharaan dan mitigasi hidupan liar di sepanjang 665 kilometer jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Dalam memorandum perjanjian yang ditandatangani antara CCCECRL dan Perhilitan pada tahun 2018, dana bernilai lebih RM 9 juta telah diperuntukkan kepada jabatan yang menguruskan Pelan Pengurusan Hidupan Liar tersebut bagi memantau impaknya terhadap hidupan liar dan habitatnya antara lain, di sepanjang jajaran utama ECRL.
CCCERL adalah kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek ECRL.
Perjanjian tambahan itu merangkumi lanjutan tempoh kerjasama bagi membolehkan fasa pembinaan jajaran Projek ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Jalan Kastam (Pelabuhan Klang), Selangor dilengkapkan, bagi menjadi salah satu program perlindungan alam sekitar.
Majlis tersebut dihadiri oleh Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Bin Abu Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Urusan CCCECRL Kong Qi.
Abdul Kadir berkata, jumlah dana yang diperuntukkan akan disalurkan kepada pelaksanaan inisiatif Pelan Pengurusan Hidupan Liar, yang merangkumi mitigasi dan kawalan konflik hidupan liar, kajian konflik manusia-gajah, kesedaran awam dan penambahan habitat, sepanjang tahun-tahun dalam tempoh kerjasama.
Manakala Pengarah Urusan CCCECRL Kong Qi berkata, tujuan dana ini diperuntukkan adalah untuk dapat bekerjasama dengan Perhilitan bagi terus mewujudkan perlindungan alam sekitar dan memastikan inisiatif mesra alam diambil sepanjang pembinaan ECRL.
”Kami memberikan jaminan untuk membangunkan projek tanpa membahayakan habitat semula jadi hidupan liar di sepanjang jajaran. Beberapa langkah penting telah diambil oleh pakar-pakar alam sekitar dalam projek ECRL serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), seperti menambah baik jajaran dan reka bentuk untuk mengurangkan kesan kepada habitat semula jadi.
”Jajaran tersebut telah direka untuk mengelak kawasan-kawasan hutan yang direntasi. Dengan membina terowong melalui kawasan hutan, kita dapat mengelakkan kemusnahan sepanjang merentasi hutan yang penuh dengan hidupan liar selain merosakkan habitat semula jadi flora dan fauna,” katanya.
Kong Qi berkata, terowong sepanjang 15.22 kilometer (km) juga akan dibina untuk mengurangkan penebangan hutan di tujuh kawasan hutan simpan yang akan dilalui ECRL di Jajaran Utara.
Bagi mengurangkan kesan alam sekitar daripada proses pembinaan ke atas hutan semula jadi, sungai dan sumber air, projek ECRL akan menyediakan 58 terowong, 128 km jejambat dan 20 lintasan-lintasan hidupan liar.
Tambahnya, melalui pembinaan terowong dan reka bentuk yang teliti, penggunaan kawasan tanah hutan telah dikurangkan sebanyak 90%, daripada jangkaan awal iaitu kehilangan 2,000 hektar tanah hutan kepada 276 hektar kehilangan tanah hutan.
Dalam menyatakan keyakinan terhadap pemeteraian hari ini, Darwis berkata, Pelan Pengurusan Hidupan Liar memainkan peranan penting bagi meminimumkan kesan habitat dan populasi hidupan liar semasa pembinaan jajaran ECRL sepanjang 665 km yang merentasi pelbagai bentuk muka bumi termasuk hutan tebal, tanah beralun, kawasan berpaya dan tanah berbukit.
“Projek ECRL berpegang teguh kepada aspek keseimbangan pembangunan dengan pemuliharaan hidupan liar. Sehubungan, Pelan Pengurusan Hidupan Liar ECRL yang dirumuskan dengan kolaborasi Perhilitan meliputi pelbagai aktiviti termasuk mitigasi & kawalan konflik, operasi menyelamat hidupan liar, pengayaan habitat, penguatkuasaan dan kesedaran awam,” katanya. – MalaysiaGazette