Bekas kakitangan Utusan Melayu memegang plakad sebagai tanda bantahan terhadap bekas pihak pengurusan mereka pada Majlis Perjumpaan Semula Alumni Utusan Melayu (Utusan) : Tragedi Mengenang Terkuburnya Suara Keramat di hadapan bekas ibu pejabat Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu campur tangan dalam membela nasib bekas kakitangan Utusan Melayu (Utusan) yang diberhentikan mengejut sejak tiga tahun lalu.

Yang DiPertua Badan Keluarga Utusan Melayu, Saifol Bakhtiar Hamik berharap Perdana Menteri dapat membantu mereka seperti mana kerajaan menyelesaikan isu bekas pekerja Perwaja sebelum ini.

Yang DiPertua Badan Keluarga Utusan Melayu, Saifol Bakhtiar Hamik.

“Semua kita tahu, Datuk Seri Ismail Sabri sudah tolong selesaikan isu tuntutan pampasan bekas pekerja Perwaja sebelum ini, dan kini kami berharap Datuk Seri dapat pula bantu kami bekas kakitangan Utusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, beliau bersama kira-kira 300 bekas kakitangan Utusan mengadakan perjumpaan semula sempena memperingati ‘kematian’ syarikat akhbar Melayu tertua itu di hadapan bekas bangunan ibu pejabatnya di sini hari ini.

Saifol Bakhtiar berkata, kerajaan boleh memanggil UHY Malaysia yang mengambil alih urusan pelikuidari aset Utusan dan wakil-wakil bekas pekerja untuk duduk berbincang mencari jalan bagaimana menyelesaikan isu tuntutan tersebut dan seterusnya menyelesaikan kes tuntutan di mahkamah.

“Kami juga berharap agar pihak Mahkamah Tinggi dapat mempercepatkan proses perbicaraan yang sedang berlangsung dan dijalankan dengan pertimbangan yang paling adil berpandukan prinsip pembelaan pekerja-pekerja yang ditindas,” tambahnya.

Bekas kakitangan Utusan Melayu bergambar sambil memegang plakad sebagai tanda bantahan terhadap bekas pengurusan mereka pada Majlis Perjumpaan Semula Alumni Utusan Melayu (Utusan) : Tragedi Mengenang Terkuburnya Suara Keramat di hadapan bekas ibu pejabat Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2022.

Hasil daripada pertemuan hari ini juga memutuskan satu jawatankuasa pasukan bertindak ditubuhkan dengan mempunyai wakil dari semua pihak kumpulan pekerja dan bersetuju untuk menubuhkan satu kelab alumni yang mewakili semua bekas kakitangan.

Untuk itu, satu memorandum akan diserahkan kepada pihak UHY bagi menyelesaikan segala tuntutan dan hal-hal berkaitan di samping satu memorandum lagi pula akan dihantar kepada Perdana Menteri selepas ini.

Selain itu, bekas kakitangan juga akan mengunjungi pejabat Kementerian Sumber Manusia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta agensi-agensi itu menyiasat jika terdapat sebarang salah laku pengurusan ketika proses penutupan syarikat Utusan Melayu, penjualan permit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! kepada pemilik baharu, proses penjualan aset Utusan dan kelewatan pelikuidasi melakukan pembayaran yang sepatutnya kepada bekas kakitangan.

Gelagat bekas kakitangan Utusan Melayu yang hadir pada Majlis Perjumpaan Semula Alumni Utusan Melayu (Utusan) : Tragedi Mengenang Terkuburnya Suara Keramat di hadapan bekas ibu pejabat Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2022.

Selain itu, katanya, perhimpunan yang diadakan hari ini juga ingin memberi mesej kepada orang ramai dan pemimpin negara terutama UMNO yang merupakan bekas pemilik syarikat itu bahawa nasib dan kebajikan 1,500 bekas kakitangan Utusan yang diberhentikan dan yang mengambil VSS masih terabai selepas syarikat ditutup pada 9 Oktober 2019.

“Sehingga kini, seramai 13 orang telah meninggal dunia tanpa mendapat bayaran satu sen pun pampasan atau tunggakan baki VSS dengan 23 orang lagi bekas kakitangan dalam keadaan daif kerana mengidap pelbagai penyakit selepas syarikat ditutup,” katanya.

Sehubungan itu, perhimpunan juga bertujuan mendesak pihak pelikuidator UHY Malaysia agar segera membuat bayaran wajib/statutori (mengikut Akta Syarikat dan Akta Pekerja), pampasan dan juga tunggakan VSS yang telah bergantung sejak tiga tahun lepas.

Gelagat bekas kakitangan Utusan Melayu yang hadir pada Majlis Perjumpaan Semula Alumni Utusan Melayu (Utusan) : Tragedi Mengenang Terkuburnya Suara Keramat di hadapan bekas ibu pejabat Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2022.

“Seperti yang kita dapat lihat, papan tanda logo Utusan Melayu telah diturunkan dari bangunan bekas ibu pejabat syarikat akhbar itu dan kilangnya di Bangi baru-baru ini, ini menunjukkan sudah tentu bangunan-bangunan bernilayang dianggar bernilai lebih RM150 juta itu telah terjual,” katanya.

Selain itu, tinjauan terhadap aset dan bangunan-bangunan milik Utusan Melayu yang bernilai ratusan ringgit di seluruh negara juga telah berpindah milik kerana bangunan atau pejabat-pejabat itu telah diruntuhkan dan sedang dibina semula oleh pemilik baru.

Bakhtiar berkata, sehubungan itu alasan UHY yang menyatakan banyak aset-aset Utusan masih tidak boleh dijual kerana Covid-19 dan syarikat tiada wang untuk membayar bekas kakitangan serta tunggakan VSS adalah tidak logik. – MalaysiaGazette