Na'im Brundage

SHAH ALAM – Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak menolak kemungkinan bertanding solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya permohonannya untuk menyertai Barisan Nasional (BN) tidak diluluskan.

Ketua Pemuda PBM, Na’im Brundage berkata, walaupun beliau terpaksa akui ia perkara yang sukar, namun parti itu sudah mempunyai pengalaman bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Sekarang ini pendirian parti adalah we cross that bridge when we get there. Kita akan bertanding solo jika terpaksa, saya rasa seperti di PRN Johor sebelum ini kita lebih bersedia untuk bertanding solo,

“Malah kita bersedia sekarang untuk bertanding solo sekali lagi jika diperlukan, amun keutamaan kita lebih kepada bersama dengan gabungan parti seperti BN,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, sebagai menunjukkan komitmen dan kesetiaan, PBM sedia membantu parti pemerintah itu untuk memenangkan semua calon BN di seluruh negara.

“Saya yakin jika kita diterima sebagai salah satu rakan gabungan dalam BN, PBM akan cuba dengan segala usaha upaya kita untuk memenangkan BN di seluruh negara.

“Saya pasti PBM yang mencerminkan demografi bangsa Malaysia yang berbilang kaum itu dapat membantu BN mengetengahkan sebuah imej yang lebih moderate dan lebih sederhana.

“Dengan cara ini boleh meraih sokongan pengundi-pengundi terutamanya daripada masyarakat berbilang kaum, bangsa Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette