Zaharin Yasin

KUALA LUMPUR – Datuk Zaharin Mohd. Yasin mendakwa pemecatannya sebagai ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta sebagai keputusan peribadi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dakwa Zaharin, beliau  tidak menerima sebarang tunjuk sebab dan juga tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin UMNO.

“Jadi keputusan ini lebih merupakan keputusan tindakan peribadi presiden dan konco-konco serta dikira sebagai keputusan ‘mi segera’.

“Apakah tujuan? Hendak menutup mulut dan mematikan tangan saya daripada menulis kemungkaran politik oleh presiden? Jawabnya tidak.

“Mulut dan tangan saya tidak akan terhenti kerana tersingkir sebagai ahli UMNO. Malah menaikkan semangat saya terus mengajak rakyat Malaysia berbilang kaum menolak Barisan Nasional atau UMNO di bawah kepimpinan presiden (ketika ini),” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Zaharin mengulas pemecatannya yang dibuat dalam pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi.

Ketika membacakan kenyataan itu, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu diambil mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar etika ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Zaharin didakwa secara lantang mengkritik beberapa pimpinan parti termasuk Presiden UMNO melalui media sosialnya.

Kata Zaharin, dia juga tidak akan merayu pada keputusan kali ketiga ini seperti mana dua pemecatannya sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast