Maestro Ilayaraaja di Malaysia

KUALA LUMPUR – Hampir 9,000 peminat Maestro Ilayaraaja seperti ‘melekat’ di kerusi masing-masing mendengar alunan muzik dan lagu-lagu lebih lima dekad ciptaan lagenda itu dalam konsertnya malam tadi.

Konsert ‘Ilayaraaja Live in KL’ lebih lima jam yang diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) anjuran Mojo Projects Sdn Bhd sebenarnya untuk makluman telah tergendala hampir tiga tahun akibat pandemik Covid-19.

Untuk yang tidak tahu, Ilayaraaja yang sudah mencecah usia 79 tahun ialah komposer, penyanyi dan penulis lirik filem yang terkenal di India dan merupakan komposer pertama di Asia yang merakam simfoni untuk Orkestra Filharmonik Diraja di London.

Beliau mencetuskan trend untuk muzik filem di India Selatan dengan menggabungkan nuansa muzik Barat menjadi lagu, walaupun sehingga artikel ini di tulis, rata-rata lagunya sudah memakan usia lebih 50 tahun namun ianya tetap menjadi kegilaan umum.

Ilayarajaa tetap disifatkan hebat kerana muzik beliau tetap menjadi pilihan tidak kira umur mahu pun latar belakang sehingga hari ini.

Buktinya, bukan sahaja tiket terjual seperti pisang goreng panas malah rata-rata sanggup hadir menunggu lebih awal beberapa jam malah hujan lebat atau parkir kereta sejauh dua kilometer.

Dalam persembahan cukup bertenaga itu, Ilayaraaja beberapa kali tampil memuji peminat Malaysia yang padanya sentiasa teruja dan amat menghormati muzik beliau.

“Peminat Malaysia memang cukup hebat dan tidak berapa kali, saya tetap begitu teruja, gembira malah ada muzik dalam diri saya ketika hendak berkunjung dan mempersembahkan anda dengan muzik-muzik saya. Anda semua cukup hebat dan amat bermakna buat saya.

“Tengok hari ini, begitu ramai dan begitu gembira wajah-wajah ini. Terima kasih Malaysia kerana sentiasa memberikan saya peluang untuk menghiburkan anda yang begitu menghormati muzik saya,” katanya.

Seramai 50 ahli muzik turut bersama-sama beliau menjayakan konsert Ilayaraaja Live in KL semalam, antaranya penyanyi SPB Charan, Mano, Yugendran Vasudevan, Karthik, Shweta Mohan, Mukesh, Madhu Balakrishnan dan Anita Karthigeyan.

Konsert ini juga di hadiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Hameed Dawood dan Ketua Pegawai Eksekutif Mojo Projects, Ratna Kumar Nadarajan.

Sebelum persembahan bermula, Ratna Kumar melahirkan rasa gembirannya kerana konsert yang diimpikan ramai pihak dapat menjadi kenyataan.

“Maestro Ilayaraaja telah menunaikan janji beliau untuk datang, menghiburkan kita dengan memberikan satu persembahan magikal buat kita. Untuk makluman anda, Mojo Projects sudah lama berhubung dengan beliau, persiapan juga hampir selesai ketika Mac 2020 lagi namun pandemik Covid-19 menyebabkan ianya tertangguh.

“Saya sungguh gembira, tidak ada ayat atau kata-kata yang boleh yang saya gambarkan perasaan saya ketika ini,” ujarnya.

Ilayarajaa bersama Ketua Pegawai Eksekutif Mojo Projects, Ratna Kumar Nadarajan.

Ilayarajaa tampil dengan lagu-lagu popular serta muzik gubahannya selama konsert berlangsung, kebanyakan lagunya turut menggamit kenangan paling terindah buat setiap yang hadir pada malam tadi.

Pada Julai tahun ini, komposer muzik itu secara rasmi mengangkat sumpah sebagai ahli Rajya Sabha atau Ahli Dewan Negara dengan memenangi pencalonannya sebagai personaliti terbilang.

Ilayarajaa juga telah mencipta muzik untuk lebih 1,000 filem cereka, mengarang kira-kira 7,000 lagu dan memenangi lima Anugerah Kebangsaan selain anugerah berprestij India termasuklah Padma Bhushan pada 2010 dan Padma Vibhushan pada 2018. – MalaysiaGazette