Azizah mengucup Mamat yang menderita kanser otak tahap empat selain perlu menjaga dua daripada empat cucunya yang merupakan OKU selepas kematian anakya akibat komplikasi hati dua bulan lalu di rumahnya di Taman Datin Fatimah, Bukit Rambai, Melaka.

MELAKA – “Biar sesusah mana pun dugaan mendatang, makcik tak akan pisahkan mereka dan akan terus menjaga empat cucu ini sehingga ke akhir hayat,” kata Azizah Ab Aziz.

Warga emas berusia 67 tahun itu berkata, kesukarannya menjaga mereka termasuk dua cucu orang kelainan upaya (OKU) dan seorang lagi menderita kanser otak tahap empat tidak sesekali melunturkan semangatnya untuk membesarkan mereka.

Menurutnya, pemergian ibu kanak-kanak terbabit yang juga anaknya, Kamalia Khamis pada usia 36 tahun pada 25 Ogos lalu tidak boleh lagi diratapi lantaran amanah yang dipikul semakin berat.

“Sebelum ini, memang arwah anak banyak membantu menjaga anak-anaknya itu selepas bercerai terutama Aish Zikri Abdul Rani, tujuh tahun yang menderita kanser otak sehingga merosakkan penglihatan mata sebelah kirinya.

“Dua lagi cucu, Amyamira Abdullah, 20 dan Aish Alaudin Abdul Rani, 8 tahun juga merupakan OKU lembam dan autisme menyebabkan makcik perlu memberi lebih perhatian kepada mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Datin Fatimah, Bukit Rambai hari ini.

Azizah menjaga Mamat yang menderita kanser otak tahap empat selain perlu menjaga dua daripada empat cucunya yang merupakan OKU selepas kematian anakya akibat komplikasi hati dua bulan lalu di rumahnya di Taman Datin Fatimah, Bukit Rambai, Melaka.

Menurut ibu tunggal itu, hanya anak kedua arwah, Nurkhairani Abdul Rani, 12, dilahirkan sebagai insan normal yang banyak membantunya menjaga adik-adiknya selepas kematian ibu akibat komplikasi hati dua bulan lalu.

Menceritakan kepayahan yang terpaksa dilalui, Azizah berkata, hanya Tuhan menjadi tempatnya mengadu namun reda dengan ketentuan-Nya.

“Mujurlah, mak cik ada berniaga nasi ayam secara kecil-kecilan selain mendapat bantuan OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dua cucu berjumlah RM700 sebulan.

“Sekurang-kurangnya, dengan bantuan itu dapatlah membantu kos ulang alik Mamat (Aish Zikri) untuk menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur sebulan sekali.

“Walaupun makcik sendiri ada sakit jantung dan darah tinggi, mak cik tak fikir itu semua kerana mahu melihat cucu-cucu makcik membesar seperti insan lain yang mempunyai ayah dan ibu,” katanya sebak.

Ashwad (dua dari kiri) dan Lawrence menyantuni Azizah yang perlu menjaga empat cucunya selepas kematian anakya akibat komplikasi hati dua bulan lalu di rumahnya di Taman Datin Fatimah, Bukit Rambai, Melaka.

Sementara itu, kesengsaraan ditanggung warga emas itu turut mendapat perhatian Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) yang tampil menghulurkan bantuan makanan dan wang tunai untuk meringankan beban.

Pengerusinya, Ashwad Abd Rahim berkata, beliau dan timbalannya, Lawrence Lee bersama ahli PSBM akan turut mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan bagi membantu keluarga terbabit mendapatakan bantuan bulanan daripada agensi berkaitan.

“Saya dimaklumkan, setakat ini keluarga ini ada mendapat bantuan JKM dan kita akan bantu makcik Azizah ini menguruskan bantuan-bantuan lain yang mungkin layak diperoleh daripada agensi berkaitan

“Selain itu, kita harap orang ramai juga dapat bersama-sama membantu menghulurkan bantuan mengikut kemampuan mereka sekaligus dapat meringankan beban warga emas ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional 04135-41-00001508-4
atas nama Azizah Ab Aziz. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast