KUALA LUMPUR – Media terutama portal dalam talian kini banyak menyiarkan berita berbaur perkauman bersumberkan segelintir ahli politik yang gemar publisiti murahan.
Bagi Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk R. Ramanan, ia satu perkara yang membimbangkan kerana belasan tahun dahulu situasi itu tidak berlaku.
Jika dulu, katanya, walaupun ada kalangan pemimpin politik mempunyai seteru politik namun kenyataan mereka jauh lebih berhemah dan ‘menyeronokkan’ menjadikan keadaan lebih berwarna warni.
Sambil membuat perbandingan, cucu kepada Tan Sri Dr. Devaki Krishnan itu mendakwa, keadaan sudah itu sudah jauh berbeza berbanding sekarang.
Ramanan yang juga mantan Timbalan Pengarah Strategi PKR memberitahu, media hari ini lebih banyak menyiarkan berita dan kenyataan berbaur rasis dari segelintir pemimpin politik.
“Saya tidak kritik atau pandang rendah pada media massa malah ramai juga sedia maklum bahawa saya ini seorang yang mesra media sejak dulu lagi.
“Tetapi senario sudah berubah, ramai dalam kalangan masyarakat kita seperti tidak berminat untuk membaca berita atau keinginan untuk tahu apa sedang berlaku di sekeliling mereka. Ini kerana situasi kini sangat negatif dengan pelbagai kenyataan mengarut dari segelintir ahli politik itu sendiri.
“Sebagai contoh, sekarang jika kita buka surat khabar atau berita atas talian, ada sahaja kenyataan berbaur perkauman, benci dan sebagainya. Dulu situasi politik antara kerajaan dan pembangkang juga agak ‘panas’ tetapi jauh lebih menarik.
“Saya beri contoh, mendiang Tun S. Samy Vellu dan lawannya, bekas Timbalan Presiden MIC, mendiang Tan Sri S. Subramaniam suka bergaduh mulut setiap hari dan setiap hari media terutamanya akhbar Tamil akan main isu antara mereka tetapi kenyataan mereka sungguh ‘comel’ dan lebih mesra tanpa baur politik.
“Sama juga kenyataan dari mantan Presiden Gerakan, mendiang Tan Sri Lim Keng Yaik mahupun Tok Guru Nik Aziz (Pas).
“Tapi anda lihat hari ini, contoh terbaru yang saya boleh ingat ialah bagaimana Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang menyalahkan kaum bukan bumiputera sebagai punca rasuah dan kerosakan ekonomi di negara ini. Ada banyak lagi kenyataan tidak bertanggungjawab segelintir pemimpin lain juga.
“Kenyataan seperti inilah yang sebenarnya menjarakkan rakyat dari terus menghadap media tapi pada saya peranan yang dimainkan oleh media, berhempas pulas serta pengorbanan mereka sebagai barisan hadapan juga harus dipuji,” katanya.
Ramanan berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette selepas menaja program Sembang Kencang anjuran Kelab Wartawan KLS di sini baru-baru ini.
Tambah Ramanan lagi, mungkin ada pihak merasakan isu-isu ‘panas’ seperti perkauman sebenarnya mampu menaikkan publisiti namun hakikat sebenarnya rakyat sudah tidak lagi berminat dengan perkara seumpama itu. – MalaysiaGazette