Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki kerana mencuri barang kecantikan di sebuah kedai serbaneka di Jalan Tasik Tambahan 3/2, Ampang di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, perlakuan suspek berusia 39 tahun itu disedari pengurus kedai yang memerhati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premisnya.

Katanya, suspek telah memasukkan barang-barang yang dicuri ke dalam silang yang dipakai.

“Antara barang yang dicuri adalah lima unit Nivea Extra White C&E Vitamin Lotion dan satu unit Rexona Shower Clean yang keseluruhan harga berjumlah RM83,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Farouk lagi, berdasarkan rekod suspek yang merupakan penganggur mempunyai dua rekod jenayah dan tujuh rekod berkaitan dadah.

Katanya, suspek yang turut dikesan positif dadah ketika ujian saringan air kencing dan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu melakukan curi dalam bangunan.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, ujarnya.

Katanya lagi, dia turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya iaitu memasukan dadah ke dalam badan yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, suspek direman sejak 30 September lepas hingga esok selepas tangkapan dibuat pada 29 September lalu. – MalaysiaGazette