Wan Rosdy pad Majlis Konvokesyen Pahang Skills Ke-11 yang berlangsung di Dewan Utama Pahang Skills di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seramai 54,407 peserta telah menerima latihan dan pendidikan berteraskan kemahiran Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Pahang Skills sejak 26 tahun penubuhannya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang Skills telah memainkan perananya sebagai institusi TVET sejak tahun 1996 dalam melahirkan graduan berkemahiran dengan kerjasama antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak industri utama di negeri ini.

“Semoga para graduan akan mendapat pekerjaan yang sesuai dengan bidang pengajian dan dapat memberi sumbangan dan perkhidmatan di negeri ini.

“Kepada para graduan yang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, timbalah ilmu sebaik mungkin untuk meningkatkan lagi kemahiran ilmiah dan sahsiah sedia ada,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika Majlis Konvokesyen Pahang Skills Ke-11 yang berlangsung di Dewan Utama Pahang Skills di sini hari ini.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 351 graduan Pahang Skills Development Centre (PSDC) berjaya menamatkan pengajian mereka dan menerima diploma dan sijil masing-masing.

Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Pahang Skills, Datuk Mas’ut Awang Samah.

Beliau menyampaikan Anugerah Khas Menteri Besar Pahang kepada Muhamad Faaiz Mohd Sabri, Anugerah Pengerusi Pahang Skills kepada Muhammad Abdullah Fikri Mohd Hairi dan Anugerah Pengarah Eksekutif kepada Mohd Danial Fikri Jamaluddin.

Turut disampaikan ialah Anugerah Khas Yayasan Pahang kepada Nurul Najihah Sofea Umar dan Anugerah Khas Lynas kepada dua penerima iaitu Muhammad Danial Daeme dan Nurfarah Adila Hamidun.

Seramai 351 graduan Pahang Skills Development Centre (PSDC) berjaya menamatkan pengajian mereka dan menerima diploma dan sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen Pahang Skills Ke-11 yang berlangsung di Dewan Utama Pahang Skills di Kuantan hari ini.

Seramai 100 orang menerima Diploma Pembagunan & Penyelengaraan Kemahiran Malaysia Elektrik Voltan Rendah, Diploma Pembangunan Kandungan Kreatif (58), Diploma Pentadbiran Sistem Komputer (34) manakala Diploma Media Kreatif Rekabentuk Digital (8).

Anugerah sijil pula terbahagi kepada empat jurusan yang berlainan di mana seramai 14 orang pula menerima Sijil Operasi & Penyelengaraan Instrumentasi Perindustrian & Kawalan, Sijil Operasi Sistem Komputer (18), Sijil Pemasaran & Penyelengaraan Elektrik Satu Fasa (76) dan Sijil Artis Multimedia Pengarangan (43).

Pahang Skills membuat penjenamaan semula pada 16 Februari 2015  dan meneruskan misi bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran, berpendidikan, berinovasi dan seimbang untuk sektor perindustrian negara dan antarabangsa dengan berpegang visi bagi menjadi institusi latihan kemahiran dan pendidikan bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2030. – MalaysiaGazette