rafizi shahrir
Rafizi Ramli (kiri) dan Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan menggunakan tuduhan rasis terhadap UMNO bila mereka sudah kehabisan modal.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, Rafizi menuduh UMNO menggunakan isu siasatan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bagi membangkitkan sentimen perkauman dalam kalangan orang Melayu.

Beliau menyifatkan tindakan Rafizi itu sebagai politik murahan dan terdesak.

“Mengapakah Rafizi mengandaikan penulisan Tommy dalam bukunya akan bangkitkan sentimen perkauman?

“Adakah penulisan Tommy itu mencemuh dan memperlekehkan orang Melayu sehingga boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu sahaja?

“Rafizi sudah buat audit forensik ke terhadap buku Tommy itu?” soalnya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Hari ini, Rafizi dilaporkan membuat tuduhan itu ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sesi dialog di Georgetown, Pulau Pinang.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan mengapa PH berdiam diri sedangkan mereka mendabik dada kononnya menjadi juara dalam mendaulatkan undang-undang dan institusi kehakiman.

Shahrir menasihatkan Rafizi agar menggunakan hujah-hujah yang berfakta dan berasaskan undang-undang negara sekiranya beliau hendak mempertahankan buku Tommy itu.

Beliau turut meminta Rafizi membentangkan hasil audit forensik terhadap penulisan Tommy itu.

“Bila lagi nak membalas budi Tommy yang telah selamatkan pemimpin-pemimpin PH, termasuk diri Rafizi sendiri, dari perbicaraan mahkamah?” soalnya lagi.-  MalaysiaGazette