Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO tidak dapat menerima mereka yang berterusan melakukan pengkhianatan dan mengambil sikap dengan menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama mereka.

Itu tegas Presiden UMNO kepada Pas sebagai syarat memulihkan Muafakat Nasional atau apa jua bentuk permuafakatan dan kerjasama mestilah kembali berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada bertemu dengannya pada 17 September lalu.

“Saya mengesahkan Presiden Pas ada mengunjungi dan mengadakan pertemuan di kediaman saya pada 17 September lalu.

“Pertemuan empat mata tersebut berlangsung dengan penuh harmoni berteraskan semangat mahabbah dan ukhuwwah persaudaraan Islamiah.

“Banyak perkara diperbincangkan termasuklah mengenai agenda penyatuan ummah yang pernah digerakkan bersama satu ketika,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya malam ini.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO hakikatnya tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah yang menjadi asas kestabilan politik tanahair dan sebab itulah sejak dari awal, UMNO sentiasa menekankan soal keikhlasan dan kejujuran dalam apa jua bentuk permuafakatan.

Terdahulu, semasa di Melaka, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO memberi tiga syarat kepada Pas sekiranya parti itu mahu kembali bekerjasama dan antaranya keluar dari Perikatan Nasional dan jangan bersama Bersatu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiga syarat UMNO jika Pas mahu bekerjasama – Zahid