KUALA LUMPUR – Status pemain import Melaka United, Ifedayo Olusegun dilaporkan bakal bertukar sebagai pemain naturalisasi pada Liga Malaysia 2023.
Penyerang penyerang kelahiran Nigeria itu juga dikhabarkan akan kembali memperkuatkan Gergasi Merah Kuning bagi menghadapi sainganmusim depan.
Berita tersebut dikongsikan oleh @selangorfans_official di Instagram berserta kapsyen mengenai perkembangan tersebut pada Khamis.
“Ifedayo last musim ini dengan Melaka United, katanya musim depan akan dinaturalisasikan. Ifedayo juga nyatakan berminat untuk kembali ke Selangor FC jika mendapat tawaran,” tulisnya di Instagram.
Sebelum ini, Ifedayo memutuskan untuk meninggalkan Selangor apabila dia menerima tawaran gaji yang lebih tinggi daripada pasukan Melaka United.
Walaupun ketika itu pihak pengurusan pasukan dikhabarkan cuba untuk memberi tawaran kenaikan gaji sebanyak 30 peratus, namun nilai tersebut masih tidak dapat menandingi tawaran yang diberikan kepada Ifedayo oleh kelab terbabit.
Untuk rekod, penyerang berusia 31 itu pernah menjadi salah seorang pemain paling berbisa yang pernah bermain bersama Selangor dengan memenangi Anugerah Kasut Emas dan memegang rekod penjaring terbanyak Liga Super Malaysia.
Sepanjang beraksi bersama Selangor, Ifedayo menjaringkan 56 gol dalam 57 penampilan yang dijalani, termasuk dua anugerah Kasut Emas saingan Liga Super pada musim 2020 dan 2021. – MalaysiaGazette