Suspek utama yang dipercayai dera seorang kanak-kanak hingga maut di Taman Skudai, Johor Bahru ditahan polis.

JOHOR BAHRU – Seorang jurujual disahkan terlibat mendera seorang kanak-kanak berusia 3 tahun 9 bulan sehingga mati dalam kejadian di Jalan Ria 2,Taman Skudai hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Mamat berkata, suspek merupakan rakan kepada bapa kandung mangsa.

Polis mendapat maklumat berhubung kejadian itu selepas bapa mangsa membuat laporan polis antara pukul 10 hingga 11 malam, semalam.

Susulan itu, polis telah menahan dan reman seorang suspek lelaki berusia 28 tahun dan seorang pembantu rumah wanita warganegara asing berusia 40 tahun tengah hari tadi.

“Hasil siasatan mendapati bapa mangsa bekerja di Singapura, manakala ibunya di Yong Peng dan telah meminta suspek menjaga dua anak mereka dengan bayaran RM2,800 sebulan.

“Polis dimaklumkan mangsa dan adiknya yang berusia setahun dijaga oleh suspek sejak tiga bulan lalu. Dalam kes ini hanya mangsa dipercayai didera manakala adiknya tidak diapa-apakan,” katanya kepada media ketika mengunjung kediaman suspek, petang tadi.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan lebam dan luka kecil pada tubuh mangsa.

Mayat mangsa telah dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- MalaysiaGazette