Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Keputusan UMNO memecat dan menggantung keanggotaan beberapa ahlinya dibuat secara kolektif dan musyawarah demi kepentingan parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada mana-mana individu berkepentingan di sebalik keputusan itu malah tindakan tersebut diputuskan bersama demi kemaslahatan parti.

Menurut beliau, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kemuafakatan, kebersamaan serta perpaduan UMNO bergerak sehati sejiwa perlu diperkasakan.

“Sebarang anasir yang boleh memecah belah atau mengganggu-gugat ditangani sebaik mungkin dengan respons sewajarnya.

“Begitu juga terhadap anasir dalaman yang berusaha memburuk-burukkan institusi kepimpinan parti yang menjadi benteng kepada perjuangan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kelmarin bersetuju memecat aktivis parti, Datuk Zaharin Mohd. Yasin daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Zaharin yang juga penulis blog sebelum ini lantang mengkritik beberapa pimpinan parti termasuk Presiden UMNO melalui media sosialnya.

Selain itu, bekas Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail digantung keahlian parti selama enam tahun atau dua penggal.

Ahmad Zahid menambah, jika UMNO dilemahkan dengan anasir dalaman yang merekayasa dakyah dan tohmahan tentunya ia akan merosakkan keharmonian.

Beliau memberitahu, bukan sahaja UMNO malah badan politik lain juga melakukan tindakan yang sama bagi memastikan institusi kepimpinannya dihormati.

“Seperti saya katakan kini bukan masa untuk menoleh. UMNO telah mengambil tindakan dan keputusan bersama demi kepentingan parti ini,” jelasnya.

Ahmad Zahid berkata, apa yang telah berlaku merupakan satu penegasan oleh parti yang UMNO tidak pernah menentang individu sebaliknya ia adalah mengenai rakyat dan negara.

“UMNO sebuah perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Kesilapan lalu tidak boleh berulang. Gunting dalam lipatan perlu dikekang,” katanya.

Beliau berkata, gerak kerja PRU-15 menjadi fokus utama sehingga tiba tarikh penting itu. – MalaysiaGazette